Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan mereka hanya membawa 22 pemain bagi mengharungi aksi persahabatan bertemu Sri Lanka yang berlangsung, Jumaat ini di Colombo.
Tiga pemain telah digugurkan kerana mengalami kecederaan iaitu Rawilson Batuil, Akram Mahinan dan Nor Hakim Hassan. Bagi melengkapkan barisan pemain, Cheng Hoe telah memanggil pemain tengah skuad Bawah-19 tahun negara (B-19), Nik Akif Syahiran Nik Mat.
Beliau bercakap kepada Berita Harian, tiga pemain itu akan menjalani sesi pemulihan dan turut terlepas satu lagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Krygyzstan di Melaka pada minggu depan.
“Kita terpaksa melupakan khidmat tiga pemain itu kerana cedera, jadi mereka dilepaskan ke pasukan masing-masing untuk menjalani rawatan dan sesi pemulihan.
“Kecederaan mereka tidak begitu serius namun kita tetap memantau keadaan ketiga-tiga pemain berkenaan. Kita perlu menunggu sama ada mereka boleh diturunkan pada aksi bertemu Republik Krygyz nanti,” katanya.
Mengulas mengenai kehadiran pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, Cheng Hoe menyifatkan tahap kecergasan Sumareh agak menurun kerana terlalu lama berehat.
“Berdasarkan latihan hari ini, saya nampak dia agak keletihan, mungkin akibat rehat yang agak panjang selepas aksi suku akhir Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.
“Apapun, saya optimis dia akan kembali cergas selepas sesi latihan selepas ini sekali gus bersedia sepenuhnya untuk diturunkan pada aksi persahabatan dua hari lagi,” katanya.
Tan Cheng Hoe dijangka akan mengumumkan senarai 23 pemain terbaik yang membawa cabaran negara di Kejohanan Piala AFF bulan depan selepas tamat saingan Piala Malaysia 2018.