Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tetap membawa Mohamadou Sumareh untuk ke Jakarta bersama 23 lagi pemain menjelang aksi sulung Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2023/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia pada Khamis depan.
Bercakap kepada media semalam, Tan Cheng Hoe menjelaskan akan mengugurkan seorang pemain lagi pada hari perlawanan kerana hanya 23 pemain yang dibenarkan untuk disenaraikan selain ingin beri ruang buat Mohamadou Sumareh untuk pulih.
Pengendali berusia 51 tahun itu turut mengumumkan tiga pemain yang disisihkan iaitu pemain-pemain yang membarisi jentera serangan iaitu Hazwan Bakri, Jafri Firdaus Chew dan Faiz Nasir.
Dalam aksi pemanas badan bertemu Jordan, hanya Hazwan Bakri yang diberikan peluang untuk beraksi dan tampaknya aksinya pada malam tersebut telah gagal meyakinkan barisan kejurulatihan. Jafri Firdaus Chew dan Faiz Nasir tidak beraksi pada perlawanan itu.
“Hazwan (Bakri) kita tahu seorang pemain yang berkaliber untuk jentera serangan tetapi sudah agak lama tidak beraksi jadi sebab itu dia tidak dapat kekalkan prestasi atau tempo untuk perlawanan antarabangsa,” jelasnya mengenai pengguguran Hazwan Bakri.
Tampil sebagai pemain gantian di babak kedua untuk penampilan ke-31 antarabangsanya, Hazwan Bakri memiliki satu peluang terbuka untuk meledak gol namun gagal memanfaatkannya.
Untuk Faiz Nasir dan Jafri Firdaus Chew yang langsung tiada kelibat pada aksi menentang Jordan, Tan Cheng Hoe ada alasan mengapa memilih untuk menyisihkan kedua-dua pemain itu.
“Faiz (Nasir) disebabkan dia demam dan badannya agak lemah memaksa untuk kita tinggalkannya. Sementara untuk Jafri Chew, kita panggilnya untuk bagi peluang di jentera serangan tetapi rasanya dia masih perlu bekerja keras lagi untuk mendapat tempat.
“Tetapi sudah semestinya kita akan terus memantau ketiga-tiga pemain ini dan besar kemungkinan selepas bertandang ke Indonesia kita akan panggil semula untuk penggantian jika ada kecederaan pemain,” tambahnya lagi mengenai pemilihan pemain.
Mengulas lanjut, Tan Cheng Hoe turut menjelaskan ramai pemain serangan dipanggil ke kem latihan kali ini untuk menilai prestasi mereka kerana negara kini ketandusan penyerang dan merasakan yang terpilih ke Indoensia adalah yang terbaik buat masa ini.
Kredit Featured Image: FAM