Baru-baru ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai awal 26 pemain yang dipilih membawa cabaran negara di Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018.
Daripada 26 pemain yang dipilih, 18 pemain adalah barisan yang sama ketika menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa minggu lalu manakala selebihnya adalah pemain dari JDT, Perak dan Pahang.
Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mempertahankan barisan pemain yang dipilih olehnya dan menganggap ini merupakan barisan terbaik yang menyerlah dalam saingan Liga Malaysia.
“Setiap jurulatih ada perancangan tersendiri, begitu juga saya apabila saya memanggil 26 pemain untuk persediaan kerana saya sudah ada bayangan pemain untuk ke Piala AFF 2018.
“Saya kira mereka pemain terbaik bagi setiap posisi yang diperlukan dan sesuai dengan taktikal serta corak permainan yang akan saya terapkan.
“Ini bukan bermakna pemain yang tidak terpilih itu tidak bagus, jadi saya harap mereka akan terus bekerja keras kerana saya sedia memberi peluang kepada mereka untuk menyertai tugasan antarabangsa selepas ini,” katanya kepada Berita Harian.
Para peminat bola sepak tanah air mengkritik pemilihan pemain itu kerana beberapa pemain lain yang dilihat sangat menyerlah sepanjang saingan Liga Malaysia tidak terpilih antaranya pemain pertahanan Pahang, Muslim Ahmad.
Malah penyokong Terengganu FC kecewa kerana tiada langsung pemain dari pasukan mereka dipanggil walaupun berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia musim ini.
Barisan 26 pemain ini akan diuji dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Maldives pada bulan November depan sebelum dipendekkan kepada 23 pemain akhir untuk Piala AFF.
“Aksi bertemu Maldives adalah perlawanan ujian terakhir buat saya dan pemain. Jadi saya harap dapat menemui gandingan terbaik sebelum ke Piala AFF,” jelasnya.
Malaysia akan memulakan perlawanan pertama Piala AFF menentang Kemboja pada 8 November kemudian menentang Laos pada 12 November di Stadium Nasional Bukit Jalil. Selepas itu, merekan akan bertandang ke Ho Chi Minh untuk bertemu Vietnam pada 16 November dan Myanmar pada 20 November juga di Bukit Jalil.