Tampilkan “Work Rate” Luar Biasa, Tommy Mawat Perjelas Peranan Sebagai Bek Sayap Sarawak United

Masih terlalu awal untuk bergembira atau pun mendabik dada walaupun kini Sarawak United berjaya merekodkan dua kemenangan ke atas dua pasukan Liga Super di pertandingan Piala Malaysia setakat ini.

Ini kerana apa sahaja boleh berlaku, termasuk perubahan momentum setiap pasukan bertanding nanti.

Pertahanan Sarawak United, Tommy Mawat Bada berkata, dia berasakan tempoh rehat liga selama sebulan berikutan perlawanan dalam kalendar antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), akan menjadikan suasana bagi baki empat perlawanan seterusnya sukar diramal.

Jelasnya, semua pasukan berpeluang memperbaiki kelemahan masing-masing selain kecederaan pemain-pemain utama mungkin sempat pulih yang menjadikan suasana menjelang perlawanan ketiga TM Piala Malaysia 2021 pada 29 dan 30 Oktober pasti mendebarkan.

Peluang masih terbuka

Situasi itu menyebabkan pemain berusia 26 tahun berkenaan tidak berasakan Sarawak United seharusnya berdabik dada kerana melihat Kuala Lumpur City FC, Penang FC dan Sri Pahang pasti akan cuba bangkit bagi merampas kedudukan pendahulu Kumpulan A.

“Memang tiada siapa menyangka Sarawak United boleh berada dalam kedudukan ini kerana ramai melihat kami hanya underdog jika dilihat semua pasukan lain dalam Kumpulan A,” jelas Tommy.

“Saya rasa mungkin semua pemain mahu bangkit dari kekecewaan di Liga Premier apabila kami terlepas kejuaraan di saat akhir dan mahu menebusnya pada saingan Piala Malaysia.

“Berbaki lagi empat perlawanan, sukar untuk saya jangkakan kami mampu meneruskan momentum dua kemenangan yang kami telah buat sebelum ini kerana tempoh rehat selama satu bulan ini.

“Jadi, kami tidak boleh leka dengan kedudukan di tangga teratas kerana pasukan seperti Sri Pahang dan Penang pasti akan cuba perbaiki sebarang kelemahan dalam dua perlawanan sebelum ini manakala KL City pasti akan mengkaji sebaik mungkin perlawanan kami bagi aksi ketiga Piala Malaysia.

“ Seperti kami, sudah pasti selepas balik dari cuti dan kembali menjalani latihan, kami akan bekerja keras dapatkan balik momentum yang dibina pada dua perlawanan lalu, ” katanya.

“Work rate” Tommy curi perhatian

Sarawak United menjadi pasukan paling mencuri tumpuan selepas TM Piala Malaysia 2021 apabila mengejutkan pasukan pilihan, Penang 3-1 pada aksi sulung di Stadium Bandaraya dan meraih kemenangan tipis 1-0 berdepan Sri Pahang.

Situasi itu meletakkan mereka berjaya mengetepikan KL City di tangga teratas yang ketika ini mengumpul empat mata sementara Penang, satu mata manakala Sri Pahang tanpa sebarang mata.

Sumber: MFL

Tommy yang beraksi selaku pemain sayap bertahan di sebelah kiri telah meledak jaringan kemenangan semasa menewaskan Sri Pahang di Stadium UiTM Shah Alam.

Malah aksi beliau sepanjang dua perlawanan setakat ini berjaya menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan kerana “work rate” luar biasa yang ditampilkan. Gigih membantu Sarawak United bertahan ketika diserang, Tommy juga menjadi pemain yang amat efektif di fasa serangan.

Sehingga kini bekas pemain skuad B-23 tahun negara itu telah menghasilkan satu assist dan satu gol untuk Sarawak United di saingan Liga Malaysia.

Bek sayap dan sistem 3-5-2 Sarawak United

Menyentuh aksinya setakat ini dengan Sarawak, Tommy menjelaskan dia begitu selesa bermain di posisi berkenaan sambil berasakan banyak kebebasan dimilikinya bagi membantu barisan serangan.

“ Jurulatih, E. Elavarasan ada menukar taktikal 3-5-2 bagi kempen Piala Malaysia dan saya banyak digunakan bahagian ‘wing back’ di sebelah kiri berbanding sebelum ini sebagai pemain pertahanan.

“ Saya berani naik ke atas untuk menguatkan jentera serangan jika yang membantu di bahagian belakang adalah Khair Jones selain dibantu Taylor Regan kerana dia banyak pengalaman bermain di posisi pertahanan.

“ Selain itu, lawan juga akan berikan fokus kepada Ashri Chuchu yang beraksi di sayap kiri sekali gus membuka ruang kepada saya untuk bergerak bebas di bahagian serangan, ” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN