Penyerang muda Chelsea, Tammy Abraham mengakui pengurusnya iaitu Frank Lampard merupakan inspirasi untuk dirinya berjaya.
Beliau yang sebelum ini hanya bermain di luar Premier League jelas mempunyai detik sukar dalam permulaan sebagai penyerang di liga itu.
Namun begitu, Abraham mengatakan kepercayaan yang Lampard berikan kepadanya membuatkan pemain itu tidak patah semangat.
Sebelum ini, beliau menerima kecaman atas talian (online abuse) dari penyokong Chelsea terutamanya selepas gagal menyempurnakan penalti dalam aksi UEFA Super Cup.
Menurut Abraham, beliau bukanlah seorang yang patah semangat dan dirinya sedikit pun tidak terkesan dengan apa yang menimpanya.
“Saya sentiasa percayakan diri saya.”
“Saya sedar saya ada beberapa detik sukar di awal musim tetapi saya bukanlah seorang yang akan biarkan perkara itu menghantui saya sebaliknya ianya membuatkan saya lebih bersemangat.”
AbAbraham berjaya membuka jaringan untuk dirinya bersama pasukan Chelsea apabila menyumbang gol ketika menentang Norwich City.
Beliau jelas berharap yang dirinya akan meneruskan rekod menjaringkan gol untuk Chelsea selepas berjaya menghasilkan persembahan yang baik tempoh hari.
“Ia cumalah bola sepak, kita cuma hanya nikmatinya sebanyak yang kita mampu.”
“Karier sebagai pemain bola sepak cukup singkat, apa yang boleh dibuat adalah hanya berikan yang terbaik dan nikmatinya sebaiknya.”