Negeri Sembilan nampaknya membuat rombakan yang sangat besar untuk mengharungi saingan musim 2024/2025 dengan beberapa muka baharu bakal menyertai kelab berkenaan.
Terdahulu, laporan menyatakan skuad Hoben Jang Hoben dinyatakan bakal menandatangani pertahanan import dari Nigeria iaitu Aliyu Abubakar untuk memperkuatkan mereka pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim akan datang.
Laporan itu dikeluarkan sendiri melalui wartawan Astro Arena iaitu Fadhirul Shuhaimi menerusi media sosial X beliau dengan menyatakan Aliyu bakal memperkuatkan Negeri Sembilan musim akan datang.
“Difahamkan tonggak pertahanan kelahiran Nigeria, Aliyu Abubakar bakal memperkuatkan Negeri Sembilan FC musim 2024/2025.
“Pemain berusia 27 tahun ini pernah beraksi di liga utama beberapa buah negara seperti Finland, Belarus & Kazakhstan,” jelas Fadhirul mengenai perkara tersebut.
Terbaharu, Astro Arena melaporkan seorang lagi pemain import baharu dari Jepun bakal memperkukuhkan pula posisi serangan mereka musim hadapan iaitu Takumi Sasaki.
Ianya diumumkan sendiri melalui Fadhirul Shuhaimi bersama Azlan Mubin dalam satu rancangan di Astro Arena, dengan laporan menyatakan Takumi bakal menjadi rekrut terbaharu Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Takumi sebelum ini beraksi dalam saingan J3 League di Jepun selaku pemain tengah menyerang dan sudah pun meledak dua gol daripada 22 perlawanan.
Takumi juga merupakan salah seorang pemain Jepun yang pernah menganggotai skuad kebangsaan bawah 20 (B-20) serta berkebolehan beraksi di serata posisi serangan untuk menjadi aset terbaik Hoben Jang Hoben.
Selain Takumi, pasukan itu juga bakal diperkuatkan oleh pemain import pinjaman dari Selangor iaitu Hein Htet Aung yang terus dikekalkan bersama Negeri Sembilan sejak pertengahan musim lalu.
Aung yang memiliki kelicikan serta kreatif membuat umpanan berbahaya dalam petak penalti lawan dilihat bakal menjadi aset penting buat mereka untuk memperkukuhkan aspek serangan menjadi lebih baik.
Tidak hanya memfokuskan pemain import, pasukan ini juga dilaporkan bakal menandatangani ramai pemain tempatan di serata posisi demi menjadi lebih positif berbanding tahun lalu.
Pemain tonggak PDRM, Dzulfahmi Abdul Hadi, Norfiqrie Talib, Aqil Razak, Alifh Aiman, serta pemain muda Selangor iaitu Azrin Afiq antara bakal memperkukuhkan Negeri Sembilan pada saingan hadapan.
Ketika ini, teka teki mengenai posisi kejurulatihan pasukan tersebut masih menjadi tanda tanya selepas kekosongan tersebut ditinggalkan oleh K. Devan apabila pengurusan kelab tidak menyambung kontraknya.