Kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC baru-baru ini telah mencatat satu lagi sejarah baharu buat mereka.
Jika pasukan ini muncul juara di halaman sendiri pada 22 0ktober nanti, ia akan menjadi pasukan kedua dari Malaysia yang berjaya menjulang Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) melakukannya pada 2015.
Disebalik kejayaan pasukan ini, individu yang memainkan peranan penting adalah ketua jurulatih mereka – Bojan Hodak.
Dengan taktikal konservatif yang diterapkan oleh Hodak, ternyata ia sangat berhasil membantu skuad kendaliannya mencapai keputusan positif terutama dalam kejohanan pusingan kalah mati.
Kejayaan menjuarai Piala Malaysia selepas menewaskan JDT dan layak pe pusingan akhir Piala AFC sudah cukup membuktikan taktikal ini masih relevan untuk digunakan.
Jika anda ingin melihat sebuah pasukan mengawal permainan dengan hantaran pendek, KL City bukan pasukannya tetapi kalau mahu menonton satu perlawanan yang menyerap setiap asakan dengan baik serta melakukan serangan pantas sehingga terhasilnya jaringan maka lihatlah mereka.
Mungkin ia sedikit membosankan bagi sesetengah peminat bola sepak namun jika taktikal itu berjaya menghasilkan kejayaan, ia lebih baik daripada mengawal permainan dan mencipta deretan peluang namun akhirnya kalah juga.
Setiap kali KL City turun bermain dipusingan kalah mati Piala AFC terutama ketika berhadapan dengan pasukan lebih kuat daripada mereka, kita boleh lihat statistik percubaan tepat dan penguasaan bola sangat rendah namun Warga Kota berjaya menang juga perlawanan tersebut.
Orang tidak akan tanya berapa kali percubaan ke arah gol atau berapa peratus penguasaan bola sebaliknya mereka hendak tahu keputusan di akhir perlawanan sahaja dan inilah yang dilakukan oleh Hodak.
Untuk bermain taktikal bertahan atau park the bus, setiap pemain harus ada disiplin yang sangat tinggi ketika bertahan atau ketika menyerang apatah lagi jika terpaksa bermain selama 120 minit.
Pujian harus diberikan kepada KL City kerana setiap pemain dapat menjalankan tugas dan perancangan dengan begitu baik.
Puji an turut diberikan kepada Hodak diatas kebijaksaan menyusun taktikal telah yang sekali gus membuktikan beliau antara jurulatih terbaik di Liga Malaysia ketika ini.
Taktikal park the bus cukup sinonim dengan Hodak dan ternyata ia membawa tuah untuk skuad kendaliannya.
Beberapa pasukan terbaik telah menjadi mangsa KL City seperti Viettel, ATK Mohun Bagan dan Sogdiyona Jizzakh.
Romel Morales antara individu yang menjadi sasaran setiap kali KL City dalam fasa menyerang dan dengan kekuatan fizikal beliau telah memberi kelebihan untuk dirinya mengawal bola beberapa saat sementara menunggu sokongan dari rakan sepasukan.
Begitu juga ketika bola di kaki Paulo Josue tetapi pemain ini bijak dalam menghantar bola kerana beliau akan mencari ruang untuk membolehkan rakan sepasukannya melakukan serangan bagi mendapatkan gol selain mampu mencipta peluang jaringan untuk diri sendiri.
Malah setiap kali pasukan lawan mendapat bola, KL City akan menyusun barisan pertahanan dengan teratur dan akan mula memberi tekanan bila memasuki kawasan mid-block bagi memastikan lawan mereka tidak dapat mengawal bola dengan mudah untuk melakukan hantaran atau percubaan.
Taktikal park the bus ini juga digunakan oleh beberapa pasukan di Eropah dan ada beberapa jurulatih yang begitu sinonim dengan pendekatan seperti ini.
Antaranya adalah Jose Mourinho yang cukup terkenal taktikal sebegini dan hampir kesemua pasukan yang beliau bimbing akan memenangi minima satu piala (kecuali Tottenham Hotspur).
Biar pun dikecam dengan pendekatan yang dibawa oleh beliau namun kejuaraan yang dimenangi bersama pasukan itu lebih penting.
Chelsea juga pernah menggunakan pendekatan seperti ini bermain secara bertahan dan akan menyerang bila mempunyai peluang terbaik dan hasilnya, mereka berjaya merangkul UEFA Champions League (UCL) pada musim 2011/2012.
Malah tahukah anda Perancis ketika muncul juara Piala Dunia 2018 juga menggunakan taktikal ini?
Dengan disiplin yang tinggi ketika bertahan serta pantas dalam menyerang telah membolehkan mereka menjulang Piala Dunia yang diadakan di Rusia ketika itu.
Tak salah pun bertahan
Dalam permainan bola sepak sememangnya mempunyai banyak pilihan taktikal yang boleh digunakan ketika menentang sesebuah pasukan dan ia bergantung pada pemain yang sedia ada serta dengan siapa mereka akan bertemu.
Jika jurulatih itu sedar pasukannya tidak berada di tahap terbaik ketika bertemu pasukan yang jauh lebih baik, pilihan taktikal park the bus adalah pilihan terbaik untuk mengelak dari kekalahan dan cuba mencuri satu mata.
Penang pernah melakukannya ketika bertemu JDT dan hampir mengikat juara bertahan namun sedikit kesilapan menyebabkan mereka tewas 1-0.
Dan sistem permainan Penang telah mendapat kritikan hebat dari pengendali JDT ketika itu, Benjamin Mora. Mora sedikit berang kerana pasukan Penang bermain secara bertahan dan hampir memalukan pasukan itu.