Taktikal Juventus 2015/2016: Bagaimana Mereka Bermain?

Naib juara Champions League 2014/2015, Juventus, bermula perlahan dalam Serie A pada musim ini.

Kekalahan 0-1 kepada Udinese dan 1-2 kepada AS Roma dalam 2 perlawanan pertama Serie A membangkitkan tanda tanya:

Adakah Juventus akan bergelut tanpa Andrea Pirlo, Arturo Vidal dan Carlos Tevez pada musim ini?

Juventus dalam transisi?

Di atas kertas, pembelian Paulo Dybala dan kemasukan Sami Khedira nampak seperti respons Max Allegri untuk menggantikan Carlos Tevez dan Arturo Vidal.

Seperti Vidal, Khedira adalah pemain tengah acuan box-to-box midfielder.

Mereka berdua mempunyai stamina yang tinggi. Kedua-dua pemain ini turut mempunyai kualiti dalam aspek pertahanan dan serangan.

Untuk menggantikan Tevez, Allegri membawa masuk Dybala dan Simone Zaza.

Seperti Tevez, Zaza adalah penyerang agresif. Tetapi Dybala mempunyai kemahiran teknikal yang lebih tinggi.

Mario Mandzukic pula adalah pengganti Fernando Llorente yang berpindah ke Sevilla. Walaupun pada asalnya, Allegri tidak merancang untuk menjual Llorente.

Persoalan paling besar adalah: siapa yang akan menggantikan tempat Andrea Pirlo?

Siapa yang menggantikan Pirlo?

Sebelum perlawanan pembukaan Serie A menentang Udinese, Allegri menegaskan Simone Padoin akan mengambil alih tugas Pirlo.

“Esok Padoin akan bermain di hadapan jentera pertahanan. Dia pernah bermain di posisi sama pada musim lepas dan sangat versatil.”

Dalam 2 perlawanan pertama Serie A 2015/2016, Padoin diberi peluang bermain sebagai kesebelasan utama dalam posisi Pirlo.

Tetapi Juventus kalah 0-1 (vs Udinese) dan 1-2 (vs AS Roma).

2 kekalahan ini membuka mata Allegri tentang kelemahan ketara Padoin. Dia tidak sekreatif Pirlo.

Ketika menentang Udinese, walaupun Juventus menguasai 68% penguasaan bola, majoriti hantaran Padoin adalah hantaran ke tepi (sideways) dan ke belakang (back passes).

Ketika menentang AS Roma, Padoin gagal mencari ruang untuk menyuntik kreativiti dari belakang.

Akibatnya, pemain pertahanan Juventus terpaksa melancarkan long balls terus ke 2 penyerang mereka.

Ini menyebabkan Juventus kerap kehilangan bola.

1 hari selepas kekalahan 1-2 Juventus kepada AS Roma, Allegri membeli Hernanes dari Internazionale.

Kedatangan Hernanes bermakna berakhirlah peluang Padoin bermain dalam kesebelasan utama Juventus.

Taktikal Juventus

Satu perkara yang pasti tentang Max Allegri adalah, beliau gemar bermain dengan 2 penyerang.

Tetapi ini tidak bermakna Allegri naif dari segi taktikal. Beliau juga kerap mengadaptasi taktikal pasukannya mengikut kekuatan pasukan lawan.

Tetapi satu perkara yang pasti adalah, setiap taktikalnya pasti akan mempunyai 2 penyerang.

Pada musim ini Allegri telah melakukan 3 eksperimen untuk mencari sistem dan formasi yang sesuai untuk Juventus pada musim ini.

Eksperimen 1: Taktikal vs Udinese (kalah 0-1), AS Roma (kalah 1-2)

Ketika menentang Udinese dan AS Roma, Allegri menampilkan formasi klasik 3-5-2.

Menentang Udinese yang menggunakan 2 penyerang, kami boleh nampak logik Allegri memakai taktikal 3-5-2 acuan Antonio Conte, bekas pengurus Juventus sebelumnya.

3 pertahanan tengah Juventus, Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini selesa menangani ancaman serangan 2 penyerang Udinese.

Juventus nampak sempurna dalam semua aspek permainan, kecuali aspek penyudah.

Bagi sebuah pasukan yang menampilkan jentera serangan yang bermuka baru (Kingsley Coman dan Mario Mandzukic), ketumpulan penyudah dalam perlawanan pertama adalah perkara normal.

Tetapi apabila Allegri membariskan formasi sama ketika menentang taktikal 4-3-3 AS Roma, ia bagaikan jemputan bagi AS Roma untuk mendominasi perlawanan tersebut.

Juventus mudah hilang bola apabila diberikan tekanan oleh pemain AS Roma.

Iago Falque dan Mohamed Salah berjaya memastikan Stephan Lichtsteiner dan Patrice Evra tidak dapat naik membantu serangan Juventus.

Di bahagian tengah, Padoin, Stefano Sturaro dan Paul Pogba sentiasa dibayangi oleh 3 pemain AS Roma dalam situasi 3v3.

Padoin langsung tiada ruang untuk merancang serangan daripada bawah kerana sentiasa dikawal ketat Edin Dzeko.

AS Roma membiarkan 3 pertahanan tengah Juventus untuk bebas memegang bola. Tetapi 3 pertahanan tengah Juventus ini tidak tahu kepada siapa mereka harus pass.

AS Roma sudah menutup semua passing outlet Juventus. Ini memaksa Juventus untuk bermain long balls dan seterusnya hilang penguasaan bola.

juve2

Eksperimen 2: Taktikal vs Man City (menang 2-1)

Bagaimanapun Allegri tampil membuat sedikit perubahan ketika menentang Man City dalam Champions League.

Menentang City yang menampilkan formasi 4-2-3-1, Allegri mengubah sistem permainan pasukannya kepada formasi hybrid 4-3-3/4-5-1.

Dalam perlawanan ini, Allegri mengarahkan Alvaro Morata bermain di tengah sebelah kiri Juventus.

Morata akan berpasangan dengan Manzukic sebagai penyerang ketika Juventus berada dalam fasa serangan (memiliki bola).

Patrice Evra pula akan naik untuk memberikan width (keluasan) kepada serangan Juventus.

Ketika ini sistem permainan Juventus nampak seperti seperti 4-3-3 yang lopsided (atau tidak seimbang).

juve3

Hanya apabila Juventus kehilangan bola, barulah Morata turun di kawasan sayap kiri.

Formasi Juventus kelihatan seperti 4-5-1 apabila berada dalam fasa bertahan (kehilangan bola).

juve4

Eksperimen 3: Taktikal vs Sevilla (menang 2-0), Internazionale (seri 0-0)

Selepas bereksperimen dengan pelbagai sistem dan formasi, Allegri nampak seperti sudah menjumpai formasi dan sistem permainan yang paling sesuai untuk Juventus pada musim ini.

Ia bermula ketika kemenangan 2-0 Juventus ke atas Sevilla dalam Champions League.

Kemudian Allegri menggunakan sistem sama dalam perlawanan menentang Internazionale baru-baru ini.

Dalam 2 perlawanan ini, Juventus bermain dalam sistem dan formasi hybrid 3-5-2/4-4-2.

Ia bermakna, dalam sistem ini, Juventus akan bermain dalam sistem 3-5-2 ketika dalam fasa serangan (atau ketika mempunyai bola).

juve6

juve8

Dalam fasa bertahan (atau kehilangan bola), Juventus akan berubah kepada sistem 4-4-2.

juve5

juve7

Ini bermakna dalam sistem hybrid 3-5-2/4-4-2 ini, Juan Cuadrado boleh kekal bermain sebagai pemain sayap dalam kedua-dua fasa serangan dan pertahanan.

Andrea Barzagli pula akan menjadi bek kanan ketika Juventus diserang. Tetapi kembali bermain sebagai pertahanan tengah ketika Juventus menyerang.

Paul Pogba pula akan mempertahankan Evra di kawasan sayap kiri ketika Juventus diserang. Tetapi kembali bebas membawa bola di kawasan tengah ketika Juventus menyerang.

Tugas ini tidak asing bagi Pogba.

Ini kerana Pogba sudah melakukan tugas sama untuk Juventus pada musim lepas ketika Juventus bermain dengan sistem 4-3-1-2.

Juventus masih mencari trio midfield terbaik

Walaupun Allegri sudah menjumpai sistem dan formasi permainan yang sesuai untuk pasukannya pada musim ini, beliau masih belum dapat memastikan trio midfield pilihan pertamanya.

Pada awal musim, Allegri telah mencuba Simone Padoin di posisi Pirlo. Beliau menggabungkan Padoin dengan Pogba dan Stafano Sturaro/Roberto Pereyra.

Tetapi seperti yang kami beritahu tadi, Padoin tidak cukup kreatif untuk bermain posisi tersebut. Sejak itu, posisinya diambil oleh Hernanes.

Hernanes adalah pemain yang sempurna untuk bermain di posisi Pirlo tersebut. Beliau kreatif, mempunyai teknik hantaran dan rembatan jauh yang baik.

Malah, Hernanes boleh melakukan apa yang Pirlo tak boleh – iaitu membawa bola ke depan dengan menggelecek sendiri dari belakang.

Hernanes kerap digandingkan dengan Khedira dan Pogba.

Tetapi baru-baru ini, Allegri telah mencuba Claudio Marchisio di posisi Pirlo ketika perlawanan menentang Internazionale.

Dalam perlawanan tersebut, Marchisio yang baru pulih daripada kecederaan menggantikan Hernanes di posisi Pirlo.

Kami tidak pasti trio yang mana satukah akan menjadi pilihan Allegri. Allegri mungkin pening untuk memilih.

Tetapi ini membuktikan Juventus mempunyai banyak pemain berkualiti di jentera tengah.

Mengapa posisi Pirlo penting bagi Juventus?

Pembelian Hernanes membuktikan kepentingan posisi Pirlo dalam sistem Allegri di Juventus.

Allegri nyata tak mahu memperjudikan nasib Juventus dengan terus memberi kepercayaan kepada Padoin di posisi Pirlo.

Apatah lagi selepas Padoin memberikan persembahan hambar ketika kekalahan Juventus menentang Udinese dan AS Roma.

Dalam falsafah bola sepak Allegri, beliau sentiasa mahukan pemainnya cuba merancang serangan dari bawah. Contoh: vs AS Roma, vs Udinese, vs Internazionale.

Hanya apabila Buffon tiada pilihan, barulah Juventus akan melakukan goal kick.

Untuk merancang serangan dari bawah, seorang pemain dari jentera tengah perlu turun untuk mengutip bola dari bawah dan melancarkan serangan.

Pada musim lepas, pemain yang melakukan tugas tersebut adalah Pirlo.

Pada musim ini, Hernanes dilihat sebagai calon paling sesuai untuk mengisi posisi yang dikosongkan oleh Pirlo itu. Lebih sesuai daripada Marchisio dan Padoin.

Baca juga: Taktikal Bayern Munich 2015/2016: Bagaimana Mereka Bermain?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN