Media Jerman memanggilnya taktik gegenpressing. Media England memanggilnya counter-pressing.
Tapi apa itu gegenpressing?
Penguasaan bola tak penting
Idea di sebalik gegenpressing adalah ‘penguasaan bola tak penting’. Dalam gegenpressing, detik paling penting adalah detik ketika pasukan lawan kehilangan bola.
Dalam gegenpressing, pasukan anda akan memberi tekanan secara berkumpulan kepada pemain lawan yang mempunyai bola.
Gegenpressing bukan benda baru
Satu perkara yang anda perlu tahu tentang gegenpressing adalah – ia bukan benda baru dalam bola sepak. Ia bukan revolusi taktikal baru ciptaan Jurgen Klopp. Ia bukan jaminan kemenangan.
Malah sebenarnya, Jurgen Klopp menggunakan gegenpressing untuk menutup kelemahan Dortmund dan memanfaatkan kekuatan mereka.
Kelemahan Dortmund
Kelemahan Dortmund pada ketika itu adalah ketiadaan pemain tengah yang bercirikan specialist.
Di mata Klopp, Nuri Sahin, Ilkay Gundogan bukan specialist dalam merancang serangan. Sebastien Kehl dan Sven Bender bukanlah specialist dalam pertahanan.
Klopp melihat keempat-empat pemain ini sebagai jack-of-all-trades.
Keempat-empat pemain ini boleh merancang serangan, menyerang kotak penalti, mematahkan serangan dan mempunyai disiplin taktikal yang bagus.
Sebab itulah Nuri Sahin gagal di Real Madrid dan Liverpool. Jose Mourinho dan Brendan Rodgers melihat Sahin sebagai pemain no.10. Sedangkan menurut Klopp:
“Itu bukan posisinya. Jika anda jenis pemain no.8 dan no.6 dan anda terpaksa main sebagai pemain no.9 atau no.10, kerja anda jadi mustahil.”
Klopp tahu beliau tak boleh mendapat penguasaan bola yang melebihi 65% pada setiap perlawanan dengan Nuri Sahin, Ilkay Gundogan, Sebastien Kehl dan Sven Bender sebagai pemain tengahnya.
Tetapi kelebihan 4 pemain ini adalah stamina yang tinggi dan disiplin taktikal yang tinggi. Gegenpressing sangat sesuai dengan kelebihan yang dimiliki 4 pemain ini.
Asal-usul gegenpressing
Seperti yang kami beritahu tadi, gegenpressing bukanlah benda baru dalam bola sepak.
Ia mula-mula dikesan sekitar tahun 1970-an. Dipelopori oleh Ajax Amsterdam dan pasukan kebangsaan Belanda (Piala Dunia 1974) yang dilatih oleh Rinus Michels.
Ketika wartawan sukan memanggil falsafah bol sepaknya sebagai total football, Rinus Michels memanggilnya pressing football. Michels dipetik berkata:
“Apa yang saya cuba buat adalah 10 pemain akan sentiasa yang bergerak ke hadapan – walaupun kami tidak mempunyai bola.”
AC Milan mengadaptasi falsafah Rinus Michels
Pada era lewat 80-an dan awal 90-an, AC Milan yang berada di bawah kendalian bekas jurujual kasut, Arrigo Sacchi. Di bawah Sacchi, Milan mengadaptasi falsafah pressing Rinus Michels.
Jika Ajax Amsterdam melaksanakannya dalam sistem 4-3-3, AC Milan melaksanakannya dalam sistem 4-4-2 mereka.
Jika Ajax Amsterdam melakukan pressing di kawasan padang lawan, AC Milan menunggu lawan masuk ke kawasan padang mereka dahulu sebelum melakukan pressing.
Baca: Arrigo Sacchi: Dari Jurujual Kasut Kepada Pengurus Pasukan Lagenda
Klopp: Pasukan saya adalah 10% Sacchi
Bercakap ketika sidang media pra-perlawanan akhir Champions League 2012/2013, Klopp mendedahkan disiplin taktikalnya diinspirasikan daripada kerja Arrigo Sacchi.
“Saya tak pernah jumpa beliau (Arrigo Sacchi). Tetapi saya belajar ilmu kejurulatihan saya daripada bekas jurulatih saya; Wolfgang Frank yang belajar dari Arrigo Sacchi.”
“Kami tahu jika Sacchi boleh buat (taktik gegenpressing) kepada Maldini, Baresi, Albertini dan pemain-pemain Milan yang lain, kami juga boleh melakukan perkara sama.”
“Okey, mungkin taklah sebagus AC Milan ketika itu. Tetapi dari segi disiplin taktikal, mungkin tiada masalah (untuk ditiru).”
Bagaimana taktik gegenpressing versi Jurgen Klopp berfungsi?
Kami ambil contoh daripada Speilvagerung. Sebuah laman web taktikal Jerman yang membincangkan gegenpressing seperti pensyarah sastera membincangkan karya Uthman Awang.
Apabila Dortmund kehilangan bola kepada pasukan biru, pemain-pemain Dortmund akan mengepung pemain biru yang mempunyai bola.
Untuk melaksanakan gegenpressing, pemain Dortmund akan block semua lorong hantaran pemain biru yang mempunyai bola.
Dan pemain Dortmund akan melakukannya dengan pantas. Sangat pantas. Perhatikan contohnya dalam video di bawah:
Kunci utamanya adalah pantas menutup lorong hantaran pemain lawan yang mempunyai bola.
Sebab itulah gegenpressing menuntut stamina yang tinggi daripada pemain.
Variasi taktik gegenpressing
Seperti Klopp yang mendapat inspirasi daripada Sacchi, gegenpressing yang dilakukan Dortmund pantas ditiru oleh Bayern Munich.
Dan ia menghasilkan kejayaan buat pasukan Bavaria itu.
Klopp sendiri pernah menyindir Bayern Munich dan menggelar mereka ‘China’ – kerana meniru taktikal gegenpressing Dortmund.
“Mereka (Bayern) macam China dalam ekonomi. Tengok apa yang orang lain buat dan tiru. Dengan duit dan kualiti pemain yang mereka ada, tak hairanlah mereka berjaya.”
A. Gegenpressing versi Jupp Heynckes (Bayern Munich)
Di bawah Jupp Heynckes, Bayern mengamalkan man-oriented gegenpressing.
Ini bermakna, setiap pemain Bayern akan mengawal pemain yang memegang bola DAN pemain yang bakal menerima bola.
Jika Dortmund block lorong hantaran untuk merampas bola, Bayern di bawah Jupp Heynckes merantai semua pilihan hantaran (passing options) pemain lawan untuk merampas bola.
B. Gegenpressing versi Pep Guardiola (FC Barcelona)
Berbeza dengan gaya Hencykes yang lebih cenderung kepada man marking, Pep Guardiola lebih cenderung zonal marking.
Apabila Barcelona kehilangan bola, mereka akan mengepung pemain yang memegang bola dan block semua lorong hantaran.
Dari segi teori, pressing yang dilakukan oleh Barcelona pada era Guardiola adalah hampir sama dengan versi Jurgen Klopp.
Contoh:
C. Gegenpressing versi Adi Hütter
Gegenpressing versi Adi Hütter ini sebenarnya selalu dipraktiskan sewaktu anda bermain bola di padang sekolah.
Ibarat lalat menghurung tahi, semua pemain dalam satu pasukan akan berlari kearah pemain yang mempunyai bola dan cuba merebut bola darinya – tanpa mengira struktur dan organisasi pertahanan pasukan.
D. Gegenpressing versi Rinus Michels
Semasa Ajax Amsterdam dan pasukan kebangsaan Belanda berada di bawah kendalian Rinus Michels, mereka juga mengamalkan pressing seperti Adi Hütter.
Cuma bezanya – setiap pemain yang berada di belakang pemain yang memegang bola perlu turun ke bawah dan memberi perlindungan kepada pemain yang sedang melakukan pressing.
Ini bermakna, jika pemain tengah sedang melakukan pressing, secara automatik mereka akan menjadi penyerang.
Pemain pertahanan perlu naik menjadi pemain tengah. Penyerang perlu turun mengisi kekosongan di jentera pertahanan dan menjadi pemain pertahanan.
Contoh:
Gegenpressing adalah playmaker terbaik
Ada sebab mengapa Klopp memanggil gegenpressing sebagai ‘playmaker terbaik di dunia’.
Dengan gegenpressing, pasukan anda boleh menyerang ketika organisasi pertahanan pasukan lawan belum bersedia pun.
Sebab itulah Klopp tidak memerlukan specialist playmaker dalam jentera tengahnya.
Pasukan anda tak memerlukan playmaker berkelas dunia pun untuk mencipta peluang gol ke arah pertahanan yang kelam-kabut.
Pasukan anda hanya memerlukan tireless worker (pemain rajin) di bahagian tengah.
Tetapi seperti taktikal bola sepak yang lain, gegenpressing juga mempunyai kelemahannya.
Kelemahan gegenpressing
Perlu diingat. Klopp menggunakan gegenpressing untuk menutup kelemahan mereka dan menonjolkan kekuatan mereka. Iaitu kelajuan counter-attacking mereka.
Selepas 3 musim, majoriti pasukan Bundesliga dan Eropah sudah masak dengan taktikal Dortmund.
Untuk mengalahkan Dortmund, mereka melakukan 2 perkara:
- tidak memberi Dortmund peluang untuk melakukan counter-attack dan
- memberi mereka peluang menguasai bola.
Gegenpressing Dortmund tak berfungsi apabila pasukan lawan bermain defensif dan membiarkan Dortmund memegang bola.
Ketika kekalahan 1-3 Dortmund kepada Borussia Monchengladbach pada 11 April 2015, Monchengladbach hanya berkampung di kubu sendiri dan membiarkan Dortmund menguasai bola.
Dortmund memperolehi 59% penguasaan bola dalam perlawanan itu tetapi hanya 3 percubaan tepat ke arah gol.
Kemudian, Monchengladbach menyerang balas pertahanan Dortmund yang dikemudi oleh Mats Hummel dan Neven Subotic.
Hummel dan Subotic tak dapat menangani kelajuan serangan balas Patrick Hermann, Fabian Johnson, Raffael dan Max Kruse.
Pada 23 November 2013, Pep Guardiola yang mengendali Bayern Munich mendedahkan cara lain untuk mengalahkan gegenpressing Dortmund.
Guardiola mengambil keputusan untuk bermain long ball dan menggunakan Javi Martinez sebagai target man.
Tujuannya adalah untuk memintas (bypass) gegenpressing Dortmund dan memberi ruang kepada Toni Kroos untuk berpoerasi tanpa tekanan pemain Dortmund.
Bayern menang 3-0 dalam perlawanan tersebut.
Baca juga: Pengenalan Kepada Taktik False 10