Tak Tahu Apa-apa Tentang Skandal Rasuah FIFA? Baca Ini

Apa yang sedang berlaku?

FIFA sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Switzerland berhubung kes rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawainya.

Sebelum ini, sudah ramai orang tahu amalan rasuah di FIFA sangat berleluasa. Tetapi kemunculan beberapa saksi baru membolehkan FBI dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendapat bukti baru untuk memulakan dakwaan.

BHHrKwL

Amerika Syarikat memulakan langkah pertama dengan mendakwa 9 pegawai FIFA dan 5 eksekutif syarikat sukan atas kesalahan rasuah, menggelapkan mata wang dan penipuan cukai. Semua kesalahan ini didakwa dilakukan sejak 1991. Jumlah yang terlibat adalah £97 juta.

Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa Switzerland pula melancarkan siasatan terhadap proses undian hak tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Belum ada dakwaan dilakukan oleh Switzerland.

Jenayah macam mana yang pegawai FIFA lakukan?

Hak bidaan, hak penyiaran TV dan hak tajaan Piala Dunia (termasuklah pertandingan lain yang dianjurkan oleh badan-badan gabungan FIFA) adalah sumber pendapatan terbesar FIFA dan ramai pihak ingin mendapatkannya.

Untuk mendapatkan hak-hak tersebut, syarikat-syarikat konglomerat dan negara-negara kaya akan ‘melobi’ undi daripada pegawai-pegawai FIFA.

Melobi undi tak salah. Yang salah adalah melobi undi dengan duit. Atau rasuah.

Apabila pegawai FIFA mendapat duit rasuah, mereka mahu duit mereka ‘bersih’ di sisi undang-undang kewangan. Jadi mereka menipu bank untuk membolehkan wang mereka nampak ‘bersih’. Mereka menggunakan nama FIFA untuk mengbersihkan duit mereka.

Apabila urusan kewangan mereka dibuat atas nama FIFA, wang kotor mereka juga tidak dikenakan cukai yang tinggi kerana FIFA didaftarkan di Switzerland dalam kategori ‘organisasi kebajikan’.

Bagaimana pegawai FIFA boleh kantoi?

Kemunculan beberapa bekas pegawai FIFA yang membuka cerita memberi bukti yang cukup kepada FBI untuk membuka kes baru terhadap pegawai-pegawai FIFA.

Antara yang paling banyak membuka cerita dan bukti adalah Charles “Chuck” Blazer, wakil Persatuan Bola Sepak USA ke FIFA yang mengaku menerima rasuah lebih USD 2 juta untuk memberi undi kepada pelobi.

Mengapa kes ini disiasat oleh Amerika Syarikat? Apa yang FIFA lakukan sehingga melanggar undang-undang Amerika Syarikat?

Transaksi duit rasuah yang diterima dan ‘dipusing-pusing’ supaya nampak bersih ini dilakukan melalui bank-bank Amerika Syarikat. Itulah sebab mengapa mereka didakwa di Amerika Syarikat.

Mengapa kes rasuah ini penting bagi peminat bola sepak?

Apabila Russia diumumkan sebagai pemenang hak tuan rumah Piala Dunia 2018, perwakilan England yang turut mahukan hak tuan rumah pada 2018 mendedahkan mereka perlu membayar sejumlah wang kepada pegawai FIFA untuk mendapat undi daripada mereka.

Bagaimanapun FIFA enggan melancarkan siasatan berhubung dakwaan England tersebut.

Kemudian apabila Qatar diumumkan sebagai pemenang hak tuan rumah Piala Dunia 2022, ramai pihak mula mempersoalkan kewarasan FIFA mengadakan Piala Dunia di negara kecil pada musim panas di Asia Barat. Mereka mula mengesyaki ada unsur pembelian undi yang dilakukan Qatar.

Kredibiliti Qatar untuk meraih undi mula dipersoalkan lebih-lebih lagi apabila satu demi satu bekas pegawai FIFA mendedahkan rasuah yang berlaku ketika proses melobi undi dilakukan.

Selepas isu Qatar, FIFA tunduk dengan desakan ramai pihak dengan melancarkan siasatan ke atas proses pengundian hak tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022. Ketua jawatankuasa siasatan adalah Michael Garcia, peguam terkemuka di Amerika Syarikat.

Michael Garcia

Apabila laporan Michael Garcia siap, FIFA pula enggan menyiarkan laporan siasatan tersebut secara terbuka. Hal ini membuatkan Michael Garcia meletakkan jawatannya sambil melabel FIFA sebagai ‘badan yang tiada kepimpinan’.

Akhirnya FIFA menyiarkan laporan Michael Garcia juga. Tetapi Michael Garcia berkata laporannya sudah ‘dibersihkan’ oleh FIFA. Beberapa fakta penting sudah hilang dan laporan beliau diputar-belit.

Ini menambah lagi keyakinan ramai pihak bahawa FIFA sudah kotor (corrupt). UEFA yang dipimpin Michel Platini secara terang-terangan mengumumkan rasa tidak percaya mereka kepada FIFA yang dipimpin Sepp Blatter.

Berapa jumlah duit rasuah yang diterima pegawai-pegawai FIFA?

Semasa England mahu mendapatkan hak tuan rumah Piala Dunia 2018, wakil mereka memberitahu seorang naib presiden FIFA mahu £2.5 juta untuk undi beliau. Seorang ahli Majlis Eksekutif FIFA pula mahu beliau diberi anugerah knighthood daripada Queen Elizabeth.

Pada 2011, dua ahli FIFA (Presiden Persatuan Bola Sepak Cameroon dan Ivory Coast) mengaku menerima USD 1.5 juta daripada wakil Qatar yang mahukan undi mereka bagi hak tuan rumah Piala Dunia 2022.

Siapa pegawai-pegawai FIFA yang didakwa oleh Amerika Syarikat?

CGA-pKxWMAENXMR

1. Jeffrey Webb (Presiden CONCACAF, Naib Presiden FIFA)
2. Jack Warner (bekas Presiden CONCACAF, Naib Presiden FIFA)
3. Eugenio Figueredo (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, bekas Naib Presiden FIFA)
4. Eduardo Li (Presiden Persatuan Bola Sepak Costa Rica, ahli Majlis Eksekutif FIFA)
5. Nicolás Leoz (bekas ahli Majlis Eksekutif FIFA)
6. José Maria Marin (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Brazil)
7. Julio Rocha (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Nicaragua, pegawai Pembangunan FIFA)
8. Rafael Esquivel (Presiden Persatuan Bola Sepak Venezuela)
9. Costas Takkas (bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Cayman Islands)

Adakah Sepp Blatter (akan) didakwa?

Tidak buat masa sekarang tetapi ada kemungkinan beliau akan didakwa kerana beliau tidak membuat sebarang perubahan untuk mengubah amalan rasuah berleluasa dalam FIFA.

Adakah Sepp Blatter akan menang dalam pemilihan presiden FIFA hari ini?

Pilihanraya akan dijalankan pada hari Jumaat dan malangnya – besar kemungkinan beliau akan menang. Ini kerana Blatter mempunyai sokongan daripada benua Afrika dan Asia. Artikel The Guardian ini menerangkan mengapa Blatter mendapat sokongan besar daripada Afrika.

Bagaimanapun, tidak mustahil juga ahli-ahli FIFA akan beralih kepada pencabar terdekat Blatter – Putera Ali bin al-Hussein dari Jordan. Apatah lagi apabila presiden UEFA, Michel Platini menjamin semua ahli UEFA (kecuali Sepanyol dan Russia) akan mengundi Putera Ali.

Putera Ali sendiri memberitahu UEFA beliau sudah mempunyai 60 undi daripada negara luar Eropah, sekaligus boleh menjamin kemenangan beliau sebagai presiden FIFA terbaru.

Rumusan

FIFA sudah kotor selama 30 tahun. Sebelum Sepp Blatter, presiden FIFA sudah ‘menghalalkan’ rasuah berleluasa dalam FIFA tetapi ketika itu (zaman pra-Internet) orang ramai masih tidak tahu.

Kini walaupun sudah terang lagikan bersuluh (pada zaman Internet), Sepp Blatter tidak melakukan apa-apa untuk mengubah tradisi rasuah berleluasa dalam FIFA. Kemuncak kekotoran FIFA tiba apabila Qatar diberi hak tuan rumah Piala Dunia 2022.

Sumber: NY Times, The Guardian Football

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN