Pernah ditegur oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), lalu meminta maaf, kini IJF datang pula dengan tuduhan semberono tentang jersi Penang FC.
Menurut pengguna Facebook, Inter Johor Firm (IJF), ada orang dari dalam kelab yang diberi amanah untuk menjaga blueprint jersi Penang namun telah bertindak menjual kepada syarikat cetak baju untuk dicetak rompak.
Dakwaan itu jelas sekali seperti tuduhan tanpa bukti apabila Penang FC membuat kenyataan agar mereka tampil dengan nama individu tersebut.
“Dakwaan ini hanya dianggap sebagai amat benar jika penulis mahu datang ke Penang dan memberi nama terus orang itu kepada Pengurusan,” titip kenyataan media oleh Penang FC tentang dakwaan oleh IJF tersebut.
“Jika hanya kenyataan umum, bolehlah dianggap saja satu bentuk helah muslihat perang saraf media untuk melaga-lagakan semua orang dalam pasukan dan menjadikan seramai orang saling syak sesama sendiri, dan menggoyah keyakinan orang luar terhadap pasukan,” tambah kenyataan itu.
Malah, seorang pengguna Twitter yang merupakan pengikut Liga Malaysia, Piang Shankly dilihat seperti senada dengan IJF berhubung isu ini.
Ciapnya, “Jersi ‘fake/copy’ boleh dibiar dijual di luar stadium yang dipanggil “rumah”. Masuk akal ke tak? Jersi ‘fake/copy’ dah ada kat market 1-2 hari lepas ‘launch’. Masuk akal ke tak? Bolasepak ni, sama macam politik. Banyak ‘deal’ belakang yang kita tak tahu. Yang pasti ada yang buat duit diam-diam.”
Jangan terkejut orang disebalik jersi fake/copy ialah orang dalam. Samada dari club, dari company jersi tu sendiri atau dari agent yg diberi hak jualan.
So tak payah pelik kenapa diorg tak bekerjasama dgn KPDNKK. TRW (dulu) & JDT ada kerjasama dgn KPDNKK, knp yg lain tak blh?— Piang Shankly (@PiangShankly) February 6, 2023
Adakah benar kenyataan ini? Atau sebenarnya ia hanyalah serkap jarang sahaja? Hanya pasukan yang lebih mengetahui apa yang telah berlaku.
Malah, Kaki Jersi turut tampil menafikan terdapat kebocoran ‘blueprint’ jersi mereka dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan yang tidak berasas.
Mereka turut sama menjamin akan membanteras isu cetak rompak ini.
Tidak dinafikan jualan jersi cetak rompak sudah sekian lama berakar umbi dalam arena bola sepak tempatan. Tidak kira jersi tempatan mahupun luar negara, apa sahaja yang boleh dijual, akan dicetak rompak oleh peniaga.
Tiada “blueprint” atau “softcopy” diberikan kepada mana-mana pihak. Spekulasi yang tidak berasas. @Penang_FC telah memberikan sokongan padu kepada kami dalam mengeluarkan produk.
Hentikan spekulasi yang tidak baik.
Pihak kami akan membenteras jualan jersi cetak rompak. pic.twitter.com/lsbYpEm3pk
— Kaki Jersi 🇲🇾 (@KakiJersi) February 5, 2023
Namun, dengan tuduhan keterlibatan orang dalam ini, ia seakan-akan satu tuduhan yang amat berat apabila tiada langsung bukti disertakan bersama.
Adakah IJF hanya serkap jarang? Malah, gaya penulisan mereka juga dilihat amat ‘dekat’ dengan gaya lenggok percakapan penduduk di Pulau Pinang.
Tidak pasti sama ada ia adalah akaun sebenar yang pernah memuat naik kenyataan tidak sensitif tentang Tragedi Kanjuruhan di Liga 1 Indonesia.
Tahun lalu, tular sebuah rakaman video panggilan yang didakwa suara pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), TMJ yang memberi teguran keras kepada salah seorang ahli IJF. “Jangan sampai budak-budak yang buat akaun-akaun [di facebook] aku ‘sapu keluar’ seorang demi seorang,” ujarnya.
“Aku tak suka bila budak-budak buat taik, nama busuk pergi kat negeri Johor,” tegas suara itu diikuti permohonan maaf dihulurkan oleh IJF dengan satu muat naik permohonan maaf di akaun Facebook mereka ketika itu.
Adakah mereka kembali dengan kenyataan semberono? Tidak belajar daripada masalah yang ditimbulkan sebelum ini sehingga dicari oleh TMJ?
Selain itu, IJF juga diharamkan memasuki stadium seumur hidup oleh TMJ sekitar tahun 2014 yang berpunca daripada perbuatan mereka sendiri.