Tak Sempat Ledak Gol, Penyerang Import KDN Sah Tamat Kontrak Lebih Awal

Kelantan Darul Naim (KDN) secara rasminya kini sah melepaskan penyerang import mereka musim 2024/2025 iaitu Valdumar Augusto Te setelah ia diumumkan sendiri menerusi media sosial kelab tersebut.

Menerusi kenyataan dikeluarkan semalam, KDN mengucapkan terima kasih kepada penyerang kebangsaan Guinea-Bissau itu dengan mengesahkan kontrak beliau tamat bersama kelab berkenaan.

“Kelantan Darul Naim FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada pemain penyerang asal Guinea-Bissau, Valdumar Augusto Te yang telah tamat kontrak bersama skuad Sang Kijang Emas.

“Valdumar beraksi sebanyak 9 perlawanan buat Kelantan Darul Naim FC dalam saingan Liga Super dan Piala FA sejak dibawa masuk pada April lepas. Dia juga diturunkan pada 4 perlawanan persahabatan.

“Pihak kelab menghargai segala jasa serta komitmen Valdumar sepanjang bersama pasukan kerana pemain ini menunjukkan sikap yang baik dan profesional ketika latihan atau perlawanan rasmi.

“Terima kasih dan selamat maju jaya pada masa hadapan buat Valdo_9,” jelas media rasmi KDN semalam dan mendapat pelbagai maklum balas dalam kalangan peminat kelab itu di ruangan komen.

Untuk rekod, Valdumar masih belum meledak sebarang gol sejak awal penyertaan beliau bersama KDN musim ini di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Hadir dengan reputasi yang cukup bagus di saingan utama Portugal serta beberapa kelab sekitar Asia, kelibat Valdumar ditagih selaku peledak berbisa buat KDN.

Namun segalanya serba tidak menjadi dengan beliau dilihat sukar untuk menyesuaikan diri bersama kelab tersebut selain gagal memberikan impak besar di posisi serangan bersama rakan sepasukan lain.

Selain Valdumar, KDN terlebih dahulu menyingkirkan pemain import termahal mereka musim ini iaitu Chadrack Muzungu dan sudah pun diumumkan beberapa minggu lalu.

“KDN FC, Muzungu Capai Persetujuan Bersama Penamatan Kontrak. Kelantan Darul Naim FC dan pemain import, Chadrack Lukombe Muzungu mencapai persetujuan bersama penamatan kontrak berkuatkuasa hari ini.

“Bekas pemain antarabangsa Congo itu menyertai KDN FC dengan kontrak semusim pada April selepas dibebaskan kelab Liga Maghribi, RS Berkane.

“Perpindahan Muzungu tidak berjalan seperti dirancangkan selepas diketepikan beberapa minggu kerana cedera. Sebaik kembali, dia gagal menembusi skuad utama termasuklah disisihkan pada 3 perlawanan terakhir Liga Super bulan Julai.

“Presiden, Rozi Muhamad berkata penyerang import itu bersetuju menamatkan kontrak selepas tiga bulan beraksi untuk KDN FC,” jelas kenyataan tersebut.

Musim ini menyaksikan hanya pemain tengah Palestin yang juga merupakan bintang Piala Asia 2023 di Qatar iaitu Oday Kharoub sahaja dianggap pembelian paling berbaloi buat KDN dengan selebihnya tampil sebagai pelengkap pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN