Tak Salah Pun Ahli Politik Nak Pegang Kelab Bola Sepak

Ahli politik

Penglibatan ahli politik dalam mengetuai persatuan atau pasukan bola sepak tempatan merupakan antara perkara yang paling tidak digemari dan sentiasa mendapat tentangan hebat daripada para penyokong bola sepak tanah air.

Bagaikan menjadi amalan wajib dalam senario bola sepak tanah air, Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri akan disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk mengepalai sesebuah persatuan bola sepak. Jalan cerita yang sudah boleh diagak dengan tepat saban tahun.

Bukanlah niat mahu merendah-rendahkan kemampuan ahli politik bergelar pemimpin di dalam industri, tetapi kehadiran mereka sering kali hanya meninggalkan kesan negatif, dan janji mereka hanya lebih sudu dari kuah.

Mungkin ada segelintir dalam kalangan ahli politik yang bijak mencari dana untuk menggerakkan pasukan tetapi kebanyakkannya dilihat hanya bersandarkan kepada sumber daripada kerajaan negeri mahu pun syarikat-syarikat dimiliki oleh kerajaan.

Ia jelas bukan satu perkembangan yang sihat buat bola sepak tempatan dan perkembangan sesebuah pasukan serta persatuan tersebut. Fokus jangka pendek mereka adalah survival bagi mendapatkan dana untuk membiayai gaji kakitangan persatuan serta para pemain dan pegawai pasukan bagi satu musim.

Bagaimana pula dengan perancangan untuk membina fasiliti terbaik yang dilihat mampu untuk memberikan manfaat buat pasukan sekiranya para pemain dapat menikmati kemudahan-kemudahan tersebut seperti pusat latihan, kesihatan dan banyak lagi.

Mungkin [tidak merujuk kepada mana-mana ahli politik] ada perkara yang bermain di minda mereka untuk tidak terlalu memikirkan tentang perkara lain, seperti, ”Penggal depan punya PRU (Pilihan Raya Umum) tak tentu lagi nasib aku, tak payah nak susah-susahlah buat semua benda ni.”

Terlalu banyak perkara yang perlu disentuh sekiranya kita mahu melihat perubahan besar ini dalam situasi bola sepak tempatan pada ketika ini.

Pengasingan persatuan negeri (FA) dan kelab bola sepak (FC) yang mula dipraktikkan pada musim 2021 ini menjadi titik awal perubahan yang ingin kita saksikan supaya perubahan secara total dapat disaksikan.

Memang amat sukar untuk mengikis ‘amalan turun-temurun’ yang sudah sebati dengan bola sepak tempatan kerana ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak musim ini turut diwakili oleh ahli politik dan Ahli Lembaga Pengarah juga orang sama dalam persatuan negeri. Apa ertinya pengasingan ini?

Tetapi jangan risau, tidak ada masalah bagi ahli politik untuk terus memegang sesebuah pasukan bola sepak tetapi hala tuju dan segala perancangan dilakukan perlulah jelas dengan matlamat untuk memberikan keuntungan buat pasukan.

Newin Chidchob contoh terbaik buat ahli politik Malaysia 

Newin merupakan bekas ahli politik yang mendukung kuat bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tetapi kemudiannya bertindak mengkhianati bekas ‘boss’nya itu ketika beliau digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.

Beliau juga pernah digantung selama lima tahun daripada pembabitan dari sebarang aktiviti politik pada 2007 kerana didapati bersalah kerana membeli undi.

Tetapi dalam masa sama, Newin merupakan pemilik kelab ternama saingan Thai League 1, Buriram United. Daripada seorang ahli politik dilabel sebagai pengkhianat kepada ketuanya dan kurang bersih, beliau menjadi individu yang cukup disayangi rakyat Buriram.

Hal ini kerana dengan kekayaan dimilikinya, beliau membangunkan Buriram United dengan penuh keterujaan sehingga menjadikan kelab tersebut sebagai kuasa besar bola sepak Thailand dan beberapa musim beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC.

Beliau bukan sahaja menjadikan bandar yang terletak 400 kilometer daripada Bangkok itu sebagai hab sukan terkenal termasuk dengan mewujudkan Litar Antarabangsa Chang, Newin juga dilihat sebagai seorang yang begitu prihatin dengan para penyokong kelab tersebut.

Ia jelas terbukti apabila menurut laporan The Diplomat, Buriram United memberikan elaun rawatan perubatan kepada penyokong yang jatuh sakit selepas memberikan sokongan buat pasukan ketika cuaca hujan ribut.

Newin juga begitu memikirkan tentang para penyokongnya kerana Buriram merupakan antara daerah termiskin di Thailand. Oleh itu, beliau mengambil keputusan untuk tidak mahu membebankan para penyokong yang setia menyokong pasukan apabila menjual jersi pasukan dengan harga mampu milik.

Sehubungan dengan langkah itu, beliau mengambil keputusan untuk mengeluarkan jersi pasukan tanpa sebarang jenama. Ini merupakan alasan daripada Newin seperti dilaporkan oleh VocketFC sebelum ini:

“Buriram United tidak menggunakan mana-mana jenama di jersi kelab kerana apabila ada jenama, harga jersi akan naik. Bila harga mahal, penyokong akan susah kerana pendapatan mereka tidak tinggi.”

“Kami lebih memberikan fokus dan perhatian kepada penyokong. Dari segi kualiti pula jersi yang mereka gunakan mempunyai kualiti kain yang sama dengan jenama seperti Nike, Adidas, Umbro dan lain-lain tetapi harga tidak mahal,” ujar Newin Chidchob.

Dengan apa yang ditampilkan oleh Newin telah memberikan makna yang cukup jelas, tiada masalah buat ahli politik untuk bergiat aktif dalam memegang sesebuah pasukan.  Tetapi seseorang ahli politik itu perlulah mengambil tanggungjawab tersebut dengan perancangan jelas bagi memajukan pasukan diketuainya.

Itulah yang dilakukan oleh Newin apabila beliau tidak langsung menggunakan sebarang dana politik untuk membangunkan Buriram United. Selain Newin, bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi juga menjadi individu yang bertanggungjawab dalam membina empayar AC Milan di Eropah dengan cukup baik tanpa campur tangan politik.

Memang agak sukar dan berbeza dengan senario di tanah air kerana pasaran bola sepak Malaysia itu sendiri tidak begitu kuat kerana penaja juga tidak mendapat pulangan setimpal dengan penajaan mereka tetapi mungkin ada langkah proaktif mampu dilaksanakan CEO kelab bagi memberikan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang.

Mungkin ramai juga merindui bagaimana hebatnya Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil yang digelar Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah melihat kepentingan perkembangan akar umbi dengan perancangan jangka panjang diilhamkannya seperti Akademi Kenari.

Ini menunjukkan beliau mempunyai ‘kegilaannya’ dalam bola sepak merintis kepada perancangan yang cukup jelas dengan memberikan fokus terhadap perkembangan pemain di peringkat akar umbi sekali gus menjadikan Kedah sebagai antara gergasi bola sepak tanah air bermula lewat tahun 80an.

Akhir kata, elemen keterujaan, minat dan tahu buat kerja itu sebenarnya lebih penting berbanding hanya berbekalkan kuasa yang tidak diketahui sampai bila mampu diagungkan dan kemudiannya pasukan menjadi mangsa.

Kredit featured image: Thananuwat Srirasant/Getty Images

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN