Perubahan secara drastik diambil oleh pasukan bola sepak Laos dengan mengumumkan Michael Weiss sebagai jurulatih baharu mereka setelah kecewa dengan aksi longlai yang dipamerkan sebelum ini dalam kempen Piala AFF 2020.
Sebelum itu, V. Selvaraj yang memegang tampuk kejurulatihan Laos dilihat gagal untuk meningkatkan mutu permainan skuad kebangsaan tersebut sehingga pengendali dari Jerman ini pula menggantikan beliau.
Difahamkan Weiss diikat kontrak selama tiga tahun untuk kembali menaikkan mutu pasukan.
Seperti Vietnam, Persekutuan Bolasepak Laos (LFF) juga mengambil pendekatan seakan sama dengan Weiss bakal bertanggungjawab untuk mengendali skuad bawah 23 (B-23) serta pasukan utama Laos agar falsafah yang diterapkan selari serta untuk pembangunan jangka masa panjang.
Weiss juga dikhabarkan untuk memberi fokus sepenuhnya dalam kemajuan bola sepak Laos kea rah lebih baik dan mampu menjadi pencabar buat mana-mana negara Asean yang lain agar tidak sekadar menjadi pelengkap jadual dalam mana-mana kejohanan yang disertai.
“Pertama sekali, terima kasih kepada Presiden (Viphet Sihachakr) dan LFF atas kepercayaan mereka kepada saya. Kami berkongsi visi yang sama untuk membawa bola sepak Laos ke peringkat lebih tinggi.”
“Saya tidak sabar untuk membawa pengalaman saya kepada pemain muda. Melatih pasukan kebangsaan, pada pendapat saya adalah posisi penting untuk memajukan bola sepak ke hadapan.”
“Saya menganggap satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Laos. Saya akan membina pasukan yang berdaya saing untuk mencapai potensi penuh mereka dan menghasilkan keputusan yang bagus,” kata Weiss yang sebelum ini pernah membimbing pasukan Filipina dan Mongolia.
Setelah menghadapi saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura tahun lalu, beberapa pasukan dilihat mengambil langkah perubahan untuk kembali meningkatkan mutu bola sepak negara masing-masing.
Malaysia dan Singapura masing-masing kehilangan jurulatih mereka apabila Tan Cheng Hoe dan Tatsuma Yoshida meletak jawatan selepas kejohanan tersebut.
Bagi Vietnam pula menyaksikan peletakan jawatan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF), Le Khanh Hai.
Dalam ketika itu, Serbegeth Singh yang juga merupakan bekas pemain bola sepak negara memberi pendapat agar Malaysia turut mengambil pendekatan seperti negara Laos dan Vietnam supaya memberi peluang buat Brad Maloney untuk mengambil alih skuad kebangsaan selain turut mengendalikan skuad Bawah 23 tahun (B-23).