Tak Beri Peluang, 5 Pengendali Liga Indonesia Jadi ‘Korban’ Lepas Sebulan Saingan Berlangsung

Saingan Liga 1 Indonesia kini dilihat semakin meriah persaingan mereka biarpun baru memasuki minggu keenam dengan pelbagai perkara sudah pun berlaku termasuk isu pemecatan jurulatih.

Sehingga kini, lima pengendali dalam saingan berkenaan sudah pun bertukar ganti dengan terbaharu, Dejan Antonic yang sebelum ini menjadi jurulatih Barito Putera sudah dipecat menurut CNN Indonesia.

Sebelum Dejan, ada empat pengendali lain yang sebelum itu turut dipecat serta mengundur diri daripada pasukan masing-masing kerana masalah untuk memberi impak buat kelab.

Selain gagal membawa pasukan dengan lebih baik, mereka juga ditekan oleh para penyokong kerana tidak berpuas hati dengan prestasi semasa kelab dan gagal memberi reaksi positif dalam setiap perlawanan.

Ini merupakan lima pengendali yang sah tidak lagi mengendalikan bekas pasukan masing-masing dan menjadi korban persainga sengit Liga 1 Indonesia.

Robert Rene Alberts

Pengendali berpengaruh ini menjadi individu pertama yang melepaskan jawatan beliau selaku jurulatih dalam saingan Liga 1 Indonesia untuk kelab Persib Bandung.

Beliau melepaskan posisi berkenaan pada 10 Ogos lalu kerana mengambil sikap tanggungjawab atas kegagalan untuk meraih keputusan positif bersama kelab.

Robert juga ketika itu ditekan dengan demonstrasi yang dibuat oleh penyokong kelab kerana kecewa, apabila Persib hanya mampu meraih satu mata daripada tiga perlawanan.

Selepas beliau berundur diri, posisi tersebut diambil seketika oleh Budiman Yunus sebelum kelab melantik Luis Milla sebagai pengendali utama Persib Bandung.

Javier Roca

Selepas Roberts, pengendali seterusnya yang digugurkan pula ialah Javier Roca yang sebelum itu melatih Persik Kediri yang turut dikenali sebagai ‘Macan Putih’.

Persik boleh dikatakan berada dalam prestasi terburuk mereka ketika ini apabila menduduki tempat terakhir dalam carta liga dengan kegagalan untuk meraih sebarang kemenangan.

Daripada empat perlawanan dikendalikan oleh jurulatih dari Chile ini, mereka hanya memperoleh satu mata selain berhasil meledak dua jaringan sahaja.

Jacksen F Tiago

Pengendali yang cukup dikenali dalam arena bola sepak Indonesia ini membuat kejutan apabila mengeluarkan kenyataan untuk mengundur diri setelah pasukan beliau, Persis Solo berjaya meraih tiga mata pertama.

Ketika itu, Persis Solo berhasil mencatat kemenangan pertama mereka setelah mereka menewaskan Bhayangkara FC menerusi keputusan 1-0.

Pengunduran itu dibuat setelah beliau menerima nasihat daripada isterinya selain didesak oleh para penyokong yang tidak berpuas hati menerusi impak semasa pasukan tersebut.

Sergio Alexandre

Jurulatih yang berasal dari Brazil ini dipecat setelah beliau gagal untuk memberi sumbangan positif bersama bekas kelab dikendalikannya iaitu PSIS Semarang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab iaitu Yoyok Sukawi, keputusan mereka untuk menamatkan kontrak Sergio lebih awal dilihat tepat kerana untuk menyelamatkan pasukan lebih awal daripada menjadi semakin buruk.

Setelah enam perlawanan dikendalikan beliau, mereka cuma berjaya merekodkan dua kali kemenangan selain sekali seri serta tiga kekalahan.

Dejan Antonic

Berada di zon penyingkiran selepas enam perlawanan diharungi menjadi punca utama mengapa pengendali kelahiran Yugoslavia itu dipecat oleh pasukan.

Barito Putera pada awal musim ini menjadi tumpuan para penyokong tempatan setelah mencatat kekalahan besar 0-8 di tangan Madura United pada perlawanan awal liga.

Walaupun setelah itu mereka berhasil untuk kembali mencatat kemenangan ke atas Borneo, pasukan tersebut selepas itu tidak lagi berdaya apabila merekodkan kekalahan berturut-turut kepada PSIS Semarang, PSS Sleman, serta Bali United.

Sumber:
CNN Indonesia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN