Pada tahun 2020, Liga M3 akan memasuki tahun kedua penganjurannya selepas dijenama dan diformat semula daripada Piala FAM. Pada edisi tahun pertama Liga M3, separuh (7 pasukan) daripadanya disertai oleh pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang. Dan boleh dikatakan, ketujuh-tujuh pasukan ini mempersoalkan motif mereka sendiri untuk menyertai liga semi-profesional ini.
Kos operasi yang tinggi, kekurangan sokongan dari penaja swasta serta kekurangan penyokong – tiga resepi utama yang membuatkan mana-mana kelab bola sepak untuk ‘bungkus’ secara pra-matang. Inilah realiti yang telah dihadapi oleh Armed Forces, DDM, Penjara, Protap, Puchong Fuerza, Tun Razak dan Ultimate pada musim 2019 di Liga M3.
Bagaimanapun menjelang musim 2020, realiti itu tidak cukup untuk menegah 10 kelab Lembah Klang daripada menyertai Liga M3 – tambahan 3 pasukan daripada musim lepas.
Apa akan jadi kalau funder kaya lari?
Daripada tujuh pasukan Lembah Klang yang menyertai Liga M3 pada musim 2019, hanya sebuah pasukan yang tidak mempunyai penaja – Tun Razak FC.
Pada mulanya dibarisi oleh beberapa bekas pemain Kuala Lumpur FA dan dilatih oleh Azman Adnan pada awal musim, nasib Tun Razak berubah selepas didakwa ‘ditipu’ oleh penaja yang pada awalnya menjanjikan RM300,000. Satu demi satu pemain utamanya mengangkat kaki meninggalkan pasukan; menyebabkan Tun Razak terpaksa mengharungi baki musim 2019 ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’.
Pada akhir musim Liga M3 2019, Tun Razak menghuni dasar liga dengan 23 kekalahan (daripada 26 perlawanan) dan bolos 140 gol (purata bolos 5 gol satu perlawanan).
“Apa yang Tun Razak dan Batu Dua lalui pada musim lepas adalah bukti betapa bahayanya bila pasukan hanya bergantung harap dengan satu tajaan. Lagi-lagi kalau tajaan tersebut tak kunjung tiba,” luah seorang pengurus pasukan Liga M3 musim 2019 kepada Semuanya BOLA.
Pengurus pasukan yang mahu identitinya dirahsiakan itu turut menambah: “Kalau kita lihat majoriti pasukan yang masuk Liga M3 pada musim lepas, hampir semuanya ada seorang funder yang kaya.”
“Apa akan jadi kalau funder kaya ini tiba-tiba decide tak nak taja?” soalnya lagi.
Bagi pasukan Armed Forces dan Penjara, mungkin soalan retorikal tersebut tidak kena dengan situasi mereka. Armed Forces dibantu oleh dana dari Angkatan Tentera Malaysia. Penjara pula oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Tetapi bagi DDM, Protap, Puchong Fuerza dan Ultimate, ketiadaan funder kaya ini akan bererti kelab mereka akan berkubur.
Pendapatan dari penaja dan penyokong adalah mustahil bagi kelab Lembah Klang
Hasil tinjauan kami daripada beberapa temuramah dengan beberapa pengurus pasukan, kos operasi anggaran bagi sesebuah pasukan Lembah Klang untuk bertanding dalam Liga M3 pada musim 2019 adalah sekitar RM750,000.
Majoriti kos ini datangnya ketika menentang perlawanan di luar kawasan Lembah Klang seperti Langkawi Glory United, Johor Bahru FA, Kuching FA, Banggol Tokku FC dan Kelantan United FC.
Tanpa sumbangan funder kaya, adalah hampir mustahil bagi sesebuah kelab yang berpangkalan di Lembah Klang untuk menjana pendapatan menerusi penajaan swasta dan kutipan jualan tiket dan jualan merchandise daripada penyokong.
“Kalau kita approach penaja, penaja akan tanya apa return yang dia akan dapat kalau taja,” kata seorang lagi pengurus pasukan Liga M3 dari Lembah Klang. “Betul juga apa yang mereka tanya. Sebab kalau dalam satu matchday kita hanya boleh tarik tak lebih 300 penyokong, macam mana kita nak justifikasi permohonan penajaan kita?” tambahnya lagi.
Inilah realiti pasukan Liga M3 di Lembah Klang. Di sebalik usaha mendekati penyokong yang dilakukan oleh kelab di media sosial dan di luar media sosial, kesukaran menarik penduduk Lembah Klang untuk turun menyaksikan pasukan komuniti mereka beraksi jauh lebih tinggi berbanding penduduk di luar Lembah Klang.
“Kalau kita tengok Kelantan United dan Kuching, mereka boleh menarik ribuan penyokong ke stadium. Tapi kalau di Lembah Klang ini, dapat 300 orang turun pun dah boleh sujud syukur dah.
“Sebab itu saya faham kenapa Puchong Fuerza pindah pergi Manjung. Setiap kali ada perlawanan bola sepak di Manjung, orang sana memang ramai turun tengok. Kalau nak buat kelab di Lembah Klang juga, saya rasa lagi elok mereka main di liga sosial sahaja. Tak berbaloi pun main Liga M3″ ujarnya lagi.