Legenda Barcelona, Lionel Messi sememangnya tidak pernah lari daripada perhatian kelab-kelab utama dunia sepanjang kariernya.
Sungguhpun begitu, beliau seperti yang kita tahu tetap utuh bersama-sama Barcelona sehingga kini walaupun hampir meninggalkan kelab tersebut baru-baru ini.
Dikala ramai peminat bola sepak dunia masih menantikan kelibat beliau di kancah Premier League. Tahukah anda yang Messi sebenarnya hampir tiba di England pada 16 tahun yang lalu?
Menurut wartawan bola sepak terkemuka Itali, Gianluca Di Marzio, Messi sebenarnya hampir pasti menyertai Chelsea pada 2004.
Faktor terbesar yang mendorong kepada perpindahan ini adalah kerana Jose Mourinho yang ketika itu menjadi pengurus Chelsea. Menurut Di Marzio, Mourinho jelas sekali meminati pemain tersebut.
Beliau jelas sekali berusaha keras untuk membawa pemain itu ke Stamford Bridge kerana begitu kagum dengan corak permainan bintang Argentina itu.
“Apabila anda cuba untuk membaca permainan Lionel Messi, untuk memahami kesannya terhadap pemain lawan, ianya sudah cukup terlambat untuk menghalangnya.”
“Corak permainan beliau adalah terlalu dramatik untuk dilihat.”
Messi juga mengatakan yang beliau begitu berminat untuk bekerja bersama-sama dengan Mourinho dan beliau juga mempunyai perbincangan yang panjang bersama pengurus itu.
“Perpindahan ke Chelsea pada 2004 itu begitu hampir untuk berlaku kerana saya ingin bermain dengan Jose Mourinho.”
“Perbualan antara saya dengan Mourinho ketika itu cukup panjang dan itu adalah kali pertama saya berasa mahu tinggalkan Barcelona.”
Jelas sekali perpindaan itu tidak menjadi dan Messi masih lagi kekal berada dimana beliau ada sekarang.
Namun begitu, bayangkan apa yang terjadi. Apakah impak yang bakal terhasil jika Messi dan Mourinho bergabung?