Ketua jurulatih skuad Kelantan, Yusri Che Lah mengakui beliau gusar dengan tahap kecergasan anak buahnya meskipun sudah enam minggu menjalani sesi latihan.
Bercakap kepada wakil Bernama, pengendali kelahiran Kangar itu jelas masih tidak berpuas hati dengan perkembangan terkini yang sedang melanda skuad bimbingannya itu.
“Rata-rata pemain belum cergas dan perkara ini memberi kegusaran kepada saya untuk melakukan persiapan lain, bagi membentuk satu pasukan yang jitu, dalam saingan liga musim hadapan.
“Walaupun masih tinggal dua bulan lagi untuk melakukan persiapan, namun aspek kecergasan amat penting untuk dititikberatkan oleh mana-mana pasukan, bagi menilai kemampuan pemain yang dimiliki.”
Dalam pada itu, Yusri sememangnya menuntut tahap kecergasan tinggi dalam kalangan anak buahnya kerana faktor tersebut pastinya akan memainkan peranan yang penting pada saingan sebenar [Liga Malaysia] nanti.
“Kecergasan ini penting, kerana walaupun pasukan mempunyai pemain yang bagus namun jika tahap kecergasan tidak memuaskan, ia akan memberi kesan yang lebih besar kepada pasukan pada setiap perlawanan.”
“Peminat boleh menilai prestasi pemain berdasarkan pemerhatian mereka, namun kami akan menilai peningkatan pemain dari semasa ke semasa membabitkan kecergasan, keserasian, kelemahan serta kelebihan pasukan.
“Kami tidak boleh memuaskan hati semua orang, namun persediaan kami juga bergantung kepada kemampuan pasukan sama seperti mendapatkan pemain import, latihan dan perlawanan persahabatan,” ujar Yusri Che Lah lagi.
Kredit foto: Kelantan FA