Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi merakamkan jutaan terima kasih kepada bekas pasukannya, Negeri Sembilan (NSFC) yang banyak membantu meningkatkan prestasinya sehingga mendapat panggilan untuk mewakili skuad Malaysia.
Lebih membanggakan, Syihan turut terpilih sebagai penjaga gol terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022 dan merampas anugerah tersebut dari Farizal Marlias setelah sekian lama mendominasi kategori itu.
Selain itu, Syihan dijangka akan memegang status penjaga gol nombor negara selepas Farizal tidak dipanggil dalam skuad Kim Pan-gon kali ini.
Ia tidak mengejutkan kerana beliau sememangnya layak untuk berada di posisi penting itu ketika ini selepas mengambil kira prestasi yang diberikan.
Kejayaan tersebut sememangnya layak untuk pemain kelahiran Kelantan ini apabila mempamerkan aksi memukau bersama NSFC dan Harimau Malaya setiap kali diturunkan.
Meskipun hanya semusim saja menabur bakti namum beliau menganggap pasukan NSFC telah memainkan peranan sangat penting dalam karier beliau.
Sepanjang musim ini, aksi tangkas penjaga gol ini membolehkan NSFC berjaya mencatat kemenangan demi kemenangan selain dapat menamatkan kedudukan keempat Liga Super serta hampir layak ke pentas Asia.
“Saya hendak ucap alhamdulillah dan terima kasih kepada pemain Negeri Sembilan dan penyokong kerana sentiasa menyokong saya sehingga ke tahap ini kerana tanpa mereka, belum tentu kita boleh berjaya,” ujarnya.
Pemain berusia 26 tahun ini turut berkata untuk berjaya seseorang pemain itu harus berusaha lebih kuat kerana bukan mudah untuk kecapi sebuah kejayaan.
Hanya dengan bekerja keras sahaja dapat membantu pemain itu terus maju ke depan.
Syihan turut bersyukur kerana prestasi beliau kembali ke puncak bersama NSFC kerana pada 2018, beliau digantung selama 20 bulan daripada terbabit dalam aktiviti bola sepak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China.
Kes tersebut menyebabkan kontrak bersama NSFC terbatal secara automatik atas hukuman yang diterima oleh beliau.
Selepas itu, Syihan dilihat sedikit bergelut untuk dapatkan kembali prestasi terbaiknya.
Pada tahun 2021 ketika bersama Petaling Jaya City, beliau hanya membuat empat penambilan saja dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan.
Namu begitu, kembalinya beliau bersama pendatang baharu Liga Super 2022, dirinya dapat bangkit kembali sekali gus menjadi pemain penting buat pasukannya.
Untuk musim hadapan, destinasi penjaga gol ini masih menjadi tanda tanya selepas tidak akan bersama skuad Rusa lagi. Syihan hangat dikaitkan akan terbang ke Selatan sebagai tempat persinggahan baharu beliau tetapi keabsahan tersebut belum dapat dipastikan lagi.