Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengimpikan agar pasukan bola sepak negara untuk beraksi di Piala Dunia satu hari nanti.
Bagi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kenyataan oleh Tun Mahathir itu dilihat sebagai satu cabaran oleh beliau untuk direalisasikan.
Bagi Syed Saddiq, cabaran oleh Tun Mahathir itu menunjukkan beliau sayang akan bola sepak negara, dan ia juga bermakna mutu bola sepak tempatan harus dipertingkatkan untuk sebarang impian ke Piala Dunia.
Bercakap melalui ucapan sempena Hari Sukan Negara pada hari ini, Tun Mahathir sempat membandingkan pencapaian skuad Harimau Malaya berbanding gergasi Asia lain seperti Korea Selatan dan juga Jepun yang sudah jauh lebih maju.
“Dahulu Malaysia terkenal handal dalam bola sepak, terutama ketika bersaing dalam Pestabola Merdeka. Orang lain tak pandai main bola sepak, org Jepun tak tahu, orang Korea tak tahu, kita saja yang pandai (ketika itu).
“Kita main bola sepak pakai but (kasut bola), mereka main kaki ayam tapi sekarang ini yang kaki ayam itu yang bertanding dalam Piala Dunia. Malaysia yang pakai but tak dapat masuk pun (Piala Dunia),” ujar Tun Mahathir dalam ucapannya.
Tun Mahathir turut menekankan agar pasukan bola sepak negara terus berusaha untuk mengejar impian beraksi di Piala Dunia.
“Saya yakin rakyat Malaysia boleh melakukannya, cuma perlu berusaha sedikit. Kalau nak jadi juara dalam bola sepak, kena berlatih banyak kali.
“Percayalah jika berlatih banyak kali, kita akan menjadi handal. Insya-Allah satu hari Malaysia akan bermain dalam Piala Dunia dan mencatat kemenangan. Kita boleh, Malaysia Boleh!” tambah Tun Mahathir lagi.