Syed Saddiq Mahu Polis Siasat Dakwaan Penyokong Indonesia Dipukul

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu pihak polis melakukan siasatan terhadap dakwaan terdapat penyokong Indonesia dipukul selepas perlawanan membabitkan pasukan negara itu.

Pada Selasa lalu, Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 di perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ)

Ketika perlawanan sedang berlangsung, terdapat beberapa insiden melibatkan penyokong pasukan negara dan Indonesia, apabila balingan suar kelihatan datang dari arah penyokong Indonesia.

Pihak berkuasa juga ditempatkan di pintu keluar Pintu E, SNBJ selepas tamat perlawanan apabila terdapat laporan berlaku sedikit ketegangan membabitkan kedua-dua penyokong.

Baru-baru ini tular sebuah video mengenai dua orang yang didakwa penyokong Indonesia dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Video tersebut menjadi tular di kalangan penyokong bola sepak di Indonesia, dan menimbulkan kemarahan di kalangan mereka.

Perkongsian kepada Syed Saddiq turut mendapat maklum balas dari Menteri Belia dan Sukan itu.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak polis untuk siasat. Kalau ada pihak yang dipukul, tolong suruh dia buat laporan ke pihak polis.

“Kami akan pastikan ianya telus dan tidak ada yang akan disembunyi.

“Keadilan adalah untuk semua, tidak kira dari Malaysia atau Indonesia,” ujar beliau melalui ciapan di Twitter.

Walaupun terdapat banyak dakwaan dari pihak Indonesia, masih terdapat keraguan mengenai video yang tular itu sebenarnya mempunyai kaitan atau tidak dengan perlawanan yang berlangsung pada Selasa lalu.

Leave a Reply