Pemain pertahanan, Muhamad Syazwan Bin Zaipol Bahari bertekad untuk membantu pasukan baharunya, Petaling Jaya City FC mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Syazwan merupakan antara pemain yang membawa cabaran negara dalam saingan Kejuaraan AFC B-23 2018 di China. Kejohanan yang menyaksikan skuad negara berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Di peringkat domestik pula, pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini menyarung jersi pasukan Perak dan dua kali pernah dipinjamkan ke Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC).
”Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab Petaling Jaya City FC kerana menerima kehadiran saya untuk mengharungi Liga Super Musim 2020.”
”Besar harapan saya untuk merealisasikan matlamat pasukan untuk meletakan PJ City FC berada di kelompok lima terbaik dalam Liga Super serta mensasarkan sekurang-kurangnya layak ke peringkat separuh akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia. InsyaAllah,” ujar Syazwan bercakap kepada wakil Semuanya BOLA.
”Setakat ini, persiapan pasukan berada di landasan terbaik dan secara peribadinya, latihan pra-musim yang dijalani ketika ini membantu saya untuk mengenali lebih dekat rakan sepasukan.”
”Selain itu juga, latihan pra-musim pertama bersama jurulatih [K.Devan] amat penting bagi saya untuk menyesuaikan diri terhadap beberapa perkara penting terutamanya memahami sistem permainan, taktikal dan juga falsafah pasukan.”
Dalam pada itu, Syazwan Zaipol turut mendedahkan keterujaannya kerana mendapat bimbingan K. Devan.
”Saya cukup bertuah dapat berkerjasama dengan ‘coach’ K. Devan pada musim ini dan seperti diketahui, beliau memiliki pengalaman luas dalam Liga Malaysia dengan menjulang beberapa piala kejuaraan.”
”Alhamdulillah saya amat selesa dgn ‘coach’ K. Devan dan mungkin akan memerlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan taktikal beliau.”
Kredit foto: Petaling Jaya Rangers Football Club