EKSKLUSIF: Syamer Akui Teruja Beraksi Selepas Hampir 4 Bulan ‘Diperam’

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense FC, Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan akhirnya telah diberikan peluang beraksi baru-baru ini.

Syamer dan Dominic telah diturunkan dalam kesebelasan utama Vilaverdense FC untuk aksi terakhir liga menentang pasukan pertengahan liga, AD Oliveirense.

Biarpun tewas tipis 0-1 kepada lawan dalam aksi tersebut, Vilaverdense FC teleh lebih awal mengesahkan kedudukan kedua Serie A, divisyen 3, di belakang FC Vizela.

Kini mereka dalam pemburuan dua slot automatik untuk layak ke divisyen 2 dan akan bersaing di pusingan playoff yang melibatkan 8 pasukan terbaik divisyen 3 musim ini.

Vilaverdense, Syamer
Kedudukan akhir Serie A, Divisyen 3 Portugal. Foto: zerozero.pt.

“Jurulatih mengatakan bahawa saya dan Dominic telah bermain dengan baik walaupun kami gagal memberi keputusan yang baik kepada pasukan,” ujar Syamer ketika dihubungi Semuanya BOLA baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai arahan atau pesanan ketua jurulatih pasukan kepadanya, dia menyatakan bahawa mereka hanya mengarahkannya untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Jurulatih hanya suruh beri yang terbaik dan mengikut arahan taktikal yang telah diajar,” jelas Syamer yang turut menyatakan dia bukan hanya beraksi di bahagian tengah.

Barisan kejurulatihan kelab juga banyak menukar dan mencuba posisi buatnya sepanjang latihan dan perlawanan tersebut. Walaupun tanpa tekanan, Syamer tetap berasa gugup.

“Saya begitu teruja kerana telah menunggu peluang ini hampir 4 bulan dan semestinya saya berasa sedikit gugup kerana sudah lama tidak dapat bermain.

Syamer
Senarai kesebelasan utama Vilaverdense FC ketika menentang AD Oliveirense. Foto: FB Vilaverdense FC.

“Tapi, alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” ulas Syamer lagi sambil menyatakan dia dan Dominic sudah mula menyesuaikan diri dengan persekitaran di bandar Vila Verde.

“Yang mudah-mudah (bahasa) saya dah boleh faham,” ujar Syamer apabila ditanyakan mengenai proses penyesuaian dirinya di Portugal sehingga kini.

Semuanya BOLA turut bertanyakan mengenai perbezaan antara aksi pertamanya bersama Pulau Pinang dan juga Vilaverdense FC. Bagi dirinya, tiada banyak perbezaan.

“Tetapi di Pulau Pinang, saya merasa lebih teruja kerana saya bermain untuk tempat kelahiran saya dan ia juga merupakan impian saya dari kecil,” tambahnya lagi.

Vilaverdense, Syamer
Kelihatan Syamer (tengah) melangkah masuk ke padang bersama pasukan. Foto: FB Vilaverdense FC.

Menurut Syamer, selain Dominic, dia kini berkongsi rumah bersama dua lagi pemain import kelab tersebut iaitu Ahmed Isaiah dari Nigeria dan Latyr Fall dari Senegal.

Dan disebabkan telah tinggal dan selalu bersama, kini mereka semua menjadi kawan rapat di kelab tersebut. Dan pastinya bahasa pengantarnya adalah Inggeris.

“Saya harap ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir saya akan beraksi bersama pasukan.

“Jadi saya bertekad untuk membuktikan sesuatu jika sekali lagi diberi peluang khususnya untuk perlawanan playoff selepas ini,” ujanya sebelum menutup bicara.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN