Syamer Kutty Abba, Pemain Paling Menyerlah Disebalik Kecewanya JDT

Syamer Kutty JDT Nagoya ACL 2021

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Syamer Kutty Abba mungkin kurang mendapat perhatian, namun prestasinya wajar diberikan kredit walaupun JDT tewas.

Sering dibincangkan pemain nombor 6 yang tidak mendapat kredit sepatutnya seperti aksi Jorginho ketika Itali berdepan Belgium di Euro dan begitu jugalah dengan situasi di Malaysia. Beliau adalah kunci kestabilan JDT ketika bertahan dan menyerang.

Sebagaimana sumbangan Jorginho yang mungkin kurang diberikan tumpuan, begitu jugalah yang dilalui Syamer Kutty Abba dan juga semua pemain yang berperanan sama dengan mereka. Mungkin ada yang melihat pemain ini membosankan.

Dalam skuad Harimau Malaya, kita dapat lihat pemain-pemain sebegini sering dihujani kritikan dek kerana permainan yang tidak menyerlah tetapi mereka adalah kunci untuk kestabilan pasukan. Masih ingat kepada Amar Rohidan dan Akram Mahinan?

Kedua-dua pemain ini sering tidak mendapat kredit atas kerja keras mereka di tengah padang. Amar Rohidan dikatakan anak emas Datuk K. Rajagobal, sementara Akram Mahinan pula pemain kesayangan Tan Cheng Hoe, itulah yang sering diungkapkan.

Biarpun dikritik, Akram Mahinan sentiasa positif menerimanya walaupun namanya kini sudah kian dilupakan untuk skuad kebangsaan. Bersama KL City FC dalam saingan Liga Super 2021, beliau telah tampil 1166 minit daripada 1170 minit sepatutnya.

KL City kini menduduki kedudukan ke-6 liga dengan empat kemenangan, lima seri dan empat kali tewas. Tidak mengecewakan bagi sebuah pasukan yang baru kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia. Malah mereka belum tumbang di laman sendiri!

Tidak salah untuk katakan, Akram Mahinan adalah kunci kestabilan KL City. Beliau merupakan pemain ke-4 terbanyak meraih minit permainan dalam skuad kendalian Bojan Hodak itu, di belakang Kevin Mendoza, Irfan Zakaria dan Daniel Ting.

Syamer Kutty Abba juga perlukan minit permainan seperti Akram Mahinan untuk meningkatkan lagi permainannya. Bersama JDT di liga, beliau baru merekodkan 232 minit daripada 1170 minit sepatutnya dan hanya dua kali dalam kesebelasan utama.

Jika Cheng Hoe menyisihkan Akram Mahinan kerana kritikan peribadi yang dilalui pemain itu, jangan Syamer Kutty Abba pula bakal menjadi mangsa selepas ini.

Ketika tewas 1-2 kepada Nagoya Grampus dalam aksi kelima Kumpulan G, AFC Champions League (ACL), kelibatnya mungkin kurang mendapat perhatian. Namun, beliau wajar mendapat kredit dengan apa yang dilakukannya di atas padang.

Syamer Kutty Abba JDT Nagoya ACL 2021

Mengikut statistik, beliau menyentuh bola sebanyak 69 kali dan membuat 64 hantaran sepanjang 83 minit beraksi. Dan beliau merupakan pemain yang paling banyak membuat hantaran tepat dalam perlawanan ini iaitu 61 hantaran tepat.

Beliau juga memenangi tiga daripada enam pertembungan dengan pemain lawan selain membuat tujuh recoveries. Siapa kita untuk menafikan sumbangannya yang boleh dikatakan banyak membantu menyerap dan meneutralkan asakan lawan.

Usah dilupa, Nagoya Grampus sangat garang dalam tiga perlawanan sebelum itu dengan meledak sekurang-kurangnya tiga gol dalam satu perlawanan. Berdepan JDT, mereka hanya berhasil mencipta dua gol, salah satunya daripada sepakan penalti.

Baca lagi artikel lain mengenai JDT dan bola sepak antarabangsa:

Pernah Minat Sertai JDT, Podolski Kini Hampir Pulang Ke Poland

5 Perkara Kemenangan JDT Ke Atas Ratchaburi FC Di ACL 2021

Rasai Pengalaman Berbeza Menonton UEFA EURO 2020™ Dengan Astro Go Interactive Mode

Leave a Reply