Kelibat penjaga gol utama skuad Piala Presiden Perak, Muhammad Syakir Danial Ma’amal Hajri pada aksi separuh akhir kedua bertemu Terengganu kelmarin jelas mencuri tumpuan apabila beliau bertindak cemerlang pada penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol berusia 19 tahun itu berjaya menafikan tiga sepakan yang diambil pemain skuad juara bertahan tersebut sekaligus membawa Perak ke perlawanan akhir untuk menempah pertemuan menentang PKNS FC.
Ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA, Syakir Danial yang pernah menganggotai skuad bawah 19 tahun negara menghadapi Kejuaraan AFC 2018 di Indonesia itu nyata tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya dapat membantu Perak melangkah ke aksi final dan lebih manis kerana dapat menumbangkan juara bertahan.
”Kami menghadapi perlawanan tersebut dengan satu hati dan semuanya bermain dengan bermati-matian, tambahan pula kami tewas 1-2 pada aksi di Kuala Terengganu.”
”Saya sangat bersyukur kerana kami dapat mencatatkan kemenangan keatas juara bertahan dan perasaan itu sukar untuk digambarkan pada ketika ini. Kami perlu fokus untuk perlawanan akhir pula.”
Anak kepada jurulatih berpengalaman, Ma’amal Hajri Abdul Wahab itu juga menjelaskan bahawa kesilapan dilakukannya pada perlawanan terdahulu menjadi pembakar semangat buatnya untuk membuktikan yang beliau mampu menjadi wira pada penentuan sepakan penalti.
”Saya memang ingin membuktikan sesuatu pada penentuan sepakan penalti itu kerana mahu menebus kesilapan mudah yang saya lakukan ketika perlawanan suku akhir bertemu UiTM FC, begitu juga dengan kekalahan 1-2 di Terengganu.”
”Simulasi sepakan penalti yang dilakukan setiap kali sesi latihan membuatkan saya begitu bersedia untuk menghadapi situasi tersebut. Saya cukup bersemangat dan Alhamdulillah dapat menggalas tanggungjawab dengan baik bagi menafikan tiga sepakan mereka.”
Selain daripada tiga sepakan yang dinafikan, satu lagi sepakan daripada pemain Terengganu sekadar singgah di palang gol ketika Syakir sudah dapat membaca pergerakan bola dengan betul untuk memberikan kemenangan 2-0 buat Perak.
Perlawanan akhir pertama akan berlangsung pada 23 September ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya manakala aksi timbal balik akan diadakan di Stadium Perak, Ipoh seminggu kemudian [3 Oktober 2019].