Quantcast

BERITA

Syafiq Ahmad: “Kepercayaan Tan Cheng Hoe Lebih Penting Bukannya Kritikan Peminat”

Bukannya rahsia lagi, segelintir penyokong bola sepak Malaysia merasakan Syafiq Ahmad antara nama yang harus dipertikaikan dalam senarai panggilan latihan pusat oleh Tan Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe sudah mengeluarkan nama pemain untuk dipanggil menghadiri latihan pusat bagi perlawanan persahabatan menentang Mongolia.

Bekas pemain Kedah yang kini beraksi untuk JDT, Syafiq Ahmad tidak peduli dengan kritikan ke atas pemilihan beliau kerana baginya, paling penting adalah kepercayaan Tan Cheng Hoe.

Tan Cheng Hoe

“Saya sedar ada peminat yang pertikaikan pemilihan beberapa nama termasuk saya. Namun saya tak kecil hati. Mereka berhak memberikan pandangan. Kritikan itu malah jadi pembakar semangat saya untuk buktikan sesuatu.”

“Apa yang lebih penting, jurulatih mempercayai kemampuan saya. Sebagai pemain, tugas saya sekarang adalah memberikan persembahan terbaik bagi membalas kepercayaan beliau.”

Syafiq Ahmad mahu menjadikan kesempatan kali ini untuk menebus kekecewaan selepas digugurkan Ong Kim Swee daripada Piala Asia B-23. Beliau menyatakan kekecewaan beliau kerana terlepas kejohanan tersebut.

Tan Cheng Hoe sedar akan kepentingan aksi menentang Mongolia dalam membantu dari segi kutipan mata dalam ranking meskipun mungkin tidak banyak.

Malaysia akan menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada 22 Mac ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tan Cheng Hoe memanggil beberapa nama baru seperti Natxo Insa dan Corbin Ong yang dilihat memiliki reputasi yang baik setakat ini. Diharap juga Syafiq Ahmad dapat membuktikan sesuatu di dalam tugasan antarabangsa kali ini.