Gagal Lapor Diri, Syafiq Ahmad Digugurkan Daripada Skuad Bawah 23 Tahun

Media tempatan, Bernama melaporkan penyerang muda dari Kedah, Syafiq Ahmad digugurkan daripada skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan ke China.

Beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lepas gagal melaporkan diri ke kem latihan pusat bagi menghadapi Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun pada Januari depan.

Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee bercakap kepada media, menjelaskan pengguguran Syafiq itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor demi kebaikan pasukan.

Kim Swee juga ingin memberi peluang kepada pemain berusia 22 tahun itu menguruskan hal perkahwinannya.

“Saya membuat keputusan membenarkan Syafiq menguruskan segala perancangan beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dan tidak akan memanggil beliau untuk kejohanan kali ini. Kita akan kekal dengan 29 pemain yang bersama pasukan sekarang.

“Keputusan ini dibuat demi kebaikan pasukan dan juga pemain. Kita sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan baik, kita perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk beliau dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat,” katanya.

Skuad bawah 23 tahun negara sudah berlatih selama 10 hari untuk meningkatkan tahap kecergasan pemain. (Gambar: FAM)

Kim Swee turut berkata ketiadaan Syafiq merupakan satu kehilangan besar bagi pasukan, namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang kejohanan yang julung kali disertai skuad B-22 negara itu.

Menurut Kim Swee, beberapa pemain sedia ada termasuk dua penyerang skuad Bawah 19 Tahun (B-19), Sean Eugene Selvaraj dan Hadi Fayyadh Abdul Razak memiliki potensi besar untuk menggalas tanggungjawab sebagai penggempur di bahagian serangan.

“Kita mempunyai Sean, Hadi dan ramai lagi yang boleh bermain di posisi yang sama dan ketiadaan Syafiq memang merupakan satu kehilangan, tetapi ia membuka peluang kepada pemain-pemain muda yang sudah bersama kita dan menunjukkan komitmen yang cukup tinggi,” katanya.

Hadi Fayyadh mendapat peluang keemasan untuk merebut tempat dalam skuad bawah 23 tahun negara. (Gambar: FAM)

Walaubagaimanapun, Kim Swee masih belum mempunyai bayangan pemain yang akan dibawa ke China dan hanya akan membuat keputusan selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di dalam dan luar negara.

“Sekarang, peluang masih samar-samar untuk kesemua pemain jadi saya hanya akan menggugurkan tiga pemain sebelum berlepas ke Korea Selatan dan ketika di sana, hanya 23 pemain sahaja yang akan ke China,” jelasnya.

Skuad bawah 23 tahun negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang PJ Rangers pada Sabtu ini, diikuti Melaka United 14 Disember ini sebelum berlepas ke Korea Selatan pada 17 Disember depan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN