Switzerland terlepas peluang memperoleh kemenangan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 bertemu Costa Rica pada perlawanan terakhir kumpulan E sebentar tadi.
Keputusan seri itu bagaimanapun masih melayakkan Switzerland ke peringka16 terbaik bagi mengiringi Brazil.
Blerim Dzemaili buka tirai jaringan, Yann Sommer cemerlang
Switzerland mengawal permainan dengan baik pada babak pertama tetapi Costa Rica yang turun sekadar untuk melengkapkan jadual lebih mengancam kubu skuad bimbingan Vladimir Petkovic.
Keazaman Costa Rica bagi memburu jaringan pertama di Rusia terserlah seawal minit ke-6 apabila tiga serangan pantas dilancarkan.
Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer bagaimanapun bertindak cemerlang bagi menafikan percubaan-percubaan yang dilakukan oleh Joel Campbell, Celso Borges dan Christian Gamboa itu.
Seminit kemudian giliran Daniel Colindres cuba untuk memburu jaringan pembukaan tetapi rembatannya sedikit tersasar.
Ledakan dari luar kotak penalti pada minit ke-10 juga menerusi Colindres kemudiannya digagalkan pula dengan sepakan yang terkena tiang gol Switzerland.
Sommer terus bertindak cemerlang apabila pantas menepis rembatan yang dilakukan Bryan Oviedo dari sebelah kiri pintu golnya pada minit ke-19.
Dalam keghairahan mencipta jaringan, Costa Rica tersentak seketika dengan gol yang dihasilkan Switzerland pada minit ke-31.
Gol pembukaan itu terhasil selepas hantaran lintang dari Stephan Lichtsteiner ditanduk ke belakang oleh Breel Embolo lalu Blerim Dzemaili menyudahkan dengan kemas bagi menceriakan kem Switzerland.
Jaringan tersebut kekal hingga wisel penamat babak pertama ditiup pengadil perlawanan dari Perancis, Clement Turpin.
Penantian Costa Rica membuahkan hasil
Penantian Costa Rica bagi mendapatkan jaringan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56.
Gol tersebut menjelma menerusi pemain pertahanan, Kendall Watson yang menanduk masuk bola hasil hantaran dari sepakan penjuru.
Selepas itu kedua-dua pasukan saling berbalas asakan dengan beberapa percubaan menarik berjaya dicipta.
Antara percubaan menarik yang dilancarkan Switzerland dan Costa Rica ialah tandukan dari Josip Drmic pada minit ke-78 hanya singgah di tiang gol Costa Rica manakala rembatan padu Celso Borges pula terus dinafikan akibat ketangkasan Sommer.
Drmic kembali meletakkan Switzerland di hadapan pada minit ke-88 selepas dengan tenang beliau menyempurnakan hantaran daripada Denis Zakaria.
Costa Rica kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 tetapi Video Assistant Referee (VAR) mengesahkan Bryan Ruiz terlebih dahulu dikesan ofsaid.
Ketika perlawanan memasuki masa tambahan, Turpin sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti buat Costa Rica selepas Zakaria mengasari Campbell dalam kotak penalti.
Ruiz yang mengambil sepakan hampir kecewa apabila sepakannya terkena tiang gol sebelum membias Sommer lalu menerjah gawang bagi perlawanan berkesudahan dengan keputusan 2-2.