Nota editor: Artikel ini merupakan tulisan Aiman Suhaimie yang merupakan penyokong tegar Pulau Pinang yang tersakiti dengan pengurusan FA Penang. Jika anda mahu menghantar artikel ke Semuanya BOLA, lakukannya dengan menghantar artikel 300 patah perkataan dalam format MS Word ke [email protected] .
Cemuih (bosan) sebenarnya bila bercakap soal isu gaji ni terutamanya melibatkan pasukan Pulau Pinang. Hampir setiap tahun masalah yang sama membelenggu pasukan yang hampir berusia 100 tahun ini (1921, penubuhan tidak rasmi FAP).
Cukup dengan isu Reinaldo Lobo yang menjadikan Pulau Pinang satu-satunya pasukan yang bertahan tidak sampai 24 jam selepas dinaikkan pangkat ke Liga Super. Namun, terpaksa akur dengan hukuman pemotongan mata oleh FIFA dan kembali beraksi dalam kancah Liga Premier untuk tahun ketiga berturut-turut. Jelas sekali, FAP tidak belajar dari kesilapan.
Di luar semua tampak indah dan cukup menyakinkan dengan persediaan yang boleh dikatakan agak mantap bagi menghadapi saingan Liga Perdana 2020. Tetapi kebobrokan yang berlaku dalam FAP tiada siapa yang tahu.
Apabila ditegur, dikritik, dikatakan kita cuba memecah-belahkan dan jatuhkan pasukan serta dianggap tidak menyokong usaha persatuan menaikkan bola sepak Pulau Pinang.
Tapi persoalan di sini sampai bila kita nak biarkan isu gaji ini berlanjutan? Sampai bila kita perlu terus harapkan dana daripada kerajaan negeri untuk menguruskan FAP?
Bangkit FAP! Ini zaman bola sepak moden, persatuan perlu jana pendapatan sendiri untuk terus kekal kompetitif dalam saingan Liga Malaysia!
Buat Presiden FAP..
Kepada Presiden FAP, kalau terbaca tulisan ini kami di pihak penyokong tak mintak FA Penang menang kejuaraan setiap musim, kami tak mintakpasukan lakukan pra-musim sampai ke Dubai.
Tapi cukup kita mampu berikan saingan dan berbelanja mengikut kemampuan. Selesaikan dulu perkara mana yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Ini buat latihan pra-musim sampai ke Indonesia dan dengar spekulasi akan sambung pula ke Singapura minggu depan. Tak salah nak persiapkan pasukan, nak buat pra-musim sampai ke Brazil sekali pun, tapi selesaikan dulu mana yang utama.
Masing-masing ada tanggungjawab, ada komitmen yang perlu diselesaikan. Come on FAP, hangpa jangan main gila dengan anak antoo Penang! Mau dok haria buang!
Kami bukan apa, kami tegur, kami kritik sebab kami sayangkan bola sepak Pulau Pinang.