Pemain serangan negara, R. Kogileswaran dilaporkan bakal kembali mewarnai saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas beraksi seketika di Korea Selatan dalam saingan K League 2 bersama Chungbuk Cheongju FC.
Kogileswaran yang sebelum itu mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di Korea Selatan dianggap mengalami detik sukar untuk mendapatkan minit permainan sepanjang berada di sana.
RASMI: Kogileswaran Catat Sejarah Jadi Pemain Pertama Malaysia Beraksi Di Korea Selatan
Bersama Cheongju FC, bekas pemain Petaling Jaya City (PJ City) ini dilaporkan hanya sempat beraksi dalam satu perlawanan sahaja dengan selebihnya hanya memanaskan bangku simpanan atau tidak didaftarkan.
Pada usia masih muda, pastinya Kogileswaran berharap supaya mendapat lebih banyak minit permainan untuk mengintai peluang menyertai skuad kebangsaan di pentas antarabangsa semula.
Menurut laporan dikeluarkan oleh Harian Metro, mereka menyatakan kini Kogileswaran telah pun mendapat beberapa tawaran daripada kelab di Malaysia dengan Penang mungkin akan menjadi pasukan baharu diwakili pemain tersebut.
Ketika ini, jendela perpindahan kedua Liga M masih lagi dibuka dan beberapa kelab masih aktif menandatangani pemain baharu untuk memperkuatkan skuad mereka sehingga ke penghujung musim.
Menyertai Penang mungkin akan memberi lebih ruang buat Kogileswaran untuk beraksi kerana pengalaman serta ketajaman pemain berusia 25 tahun tersebut bakal ditagih kelab itu pada saingan Liga Super.
“Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu akan pulang ke Malaysia dan menyertai pasukan berpangkalan di utara tanah air pada baki saingan Liga Super.
“Kita akan tunggu pasukan Liga Super itu membuat pengumuman nanti. Situasi itu sebenarnya bagus kepada pemain terbabit untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya kelak,” kata salah satu sumber menerusi Harian Metro.
Walaupun gagal menembusi kesebelasan utama di Korea Selatan, pastinya pengalaman dimiliki oleh Kogileswaran menjadi sesuatu yang berguna selepas ini untuk dikongsikan kepada para pemain tempatan.
Malah, ini membuktikan pemain Malaysia sebenarnya masih lagi jauh ketinggalan di belakang untuk tampil lebih berkualiti sehingga mendapat ruang beraksi di luar negara.
Selain Kogileswaran, seorang lagi pemain Asia Tenggara yang masih kekal beraksi di Korea Selatan kini terarah kepada pertahanan kental Indonesia iaitu Asnawi Mangkualam.
Asnawi boleh dianggap sudah pun berjaya menyesuaikan diri di sana dengan beraksi untuk dua pasukan sebelum ini iaitu Ansan Greeners serta terbaharu Jeonnam Dragons bersama rekod cukup menyakinkan.