Supercopa des Espana VS Community Shield: MFL Perlu Rombak Pertandingan Piala Sumbangsih

Hari yang dinanti-nantikan oleh penyokong bola sepak tempatan akhirnya bakal tiba apabila Liga Malaysia 2019 akan kembali. Dua perlawanan dijadualkan esok. Kuala Lumpur bakal menanti kunjungan juara Piala FA musim lalu, Pahang di Stadium Bola Sepak Cheras. Mankala naib juara Piala Malaysia, Terengganu akan melayan kunjungan PKNS FC di Kuala Terengganu.

Sedikit berbeza pada musim ini mengenai Liga Malaysia ialah apabila perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, tidak lagi dimainkan pada hari pertama sepak mula pertandingan -sebagai pembuka tirai- sebaliknya, hanya akan diadakan pada hari berikutnya.

Sejarah

Piala Sultan Haji Ahmad Shah, atau turut dikenali sebagai Piala Sumbangsih mula diperkenalkan di Liga Malaysia pada 1985 dan telah diadakan sehingga kini sebagai perlawanan pembuka tirai.

Secara tradisi, ia menemukan juara Liga Super atau juara divisyen pertama negara, dan juga juara Piala Malaysia. Namun tidak dinafikan di dalam beberapa perlawanan lalu di pertandingan ini, format tersebut turut berubah disebabkan terdapatnya pasukan yang bergelar juara berganda, ataupun treble seperti yang dilalui oleh Kedah ketika di bawah bimbingan jurulatih Azraai Khor Abdullah.

Penentuan gelanggang perlawanan turut sentiasa berubah. Turut pernah diadakan di gelanggang berkecuali seperti di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2012, kebiasaannya venue perlawanan menjadi milik Sang Juara Liga.

Dasar pandang ke Sepanyol dan England

Sejak beberapa tahun yang lalu, Malaysian Football League (MFL) mengambil dasar untuk berguru dari dua buah negara kuasa bola sepak eropah untuk tujuan penganjuran pertandingan bola sepak domestik di sini.

MFL yang turut dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada ketika itu pada mulanya mengadakan hubungan dengan pihak La Liga. Hubungan dua hala membabitkan dua entiti badan penganjur bola sepak itu masih lagi diteruskan sehingga kini. Terbaru, MFL turut berkongsi mengenai kerjasama mereka dengan The FA, badan bola sepak England yang mempunyai pengalaman sejak 1863.

Jika kita mahu melakukan perbandingan, Piala Sumbangsih di negara kita sebenarnya mirip Supercopa des Espana di Sepanyol atau pun perlawanan Community Shield di England. Kedua-duanya mempunyai format yang berbeza, tetapi dilihat seperti mempunyai corak penganjuran yang lebih kemas berbanding Piala Sumbangsih yang mempunyai beberapa isu untuk diselesaikan.

Supercopa des Espana VS Community Shield

Supercopa adalah perlawanan pembuka tirai untuk pertandingan domestik di Sepanyol. Ia menemukan juara La Liga dan juara Copa del Rey. Sekiranya sesebuah kelab muncul juara berganda, maka naib juara Copa del Rey akan dipilih untuk menentang juara La Liga.

Walaupun memiliki sejarah sejak 1940 dengan nama pertandingan yang berbeza, Supercopa des Espana secara rasmi diperkenalkan pada 1982. Ianya diadakan secara timbal balik dan hanya menggunakan format satu perlawanan pada musim 2018/19. Menariknya, Supercopa pada musim ini diadakan di Maghribi sebagai gelanggang pilihan berkecuali, sebagai salah satu cara mempromosi La Liga.

Community Shield turut mempunyai sejarah menarik yang tersendiri. Perlawanan pertama yang direkodkan ialah pada musim 1908/09, membabitkan pertemuan diantara Manchester United menentang Queen Park Rangers. Community Shield pada hari ini menemukan juara Liga Perdana Inggeris dan juga juara Piala FA. Sekiranya terdapat mana-mana kelab yang membolot kejuaraan berganda, maka naib juara liga akan tampil sebagai lawan di dalam pertandingan ini.

Community Shield juga diadakan secara satu perlawanan, dan kebiasaan diadakan di Stadium Wembley. Tujuh pertukaran pemain dibenarkan, namun ia turut pernah diadakan di venue salah sebuah pasukan bertanding seperti pada 1928, 1965 dan 1967 yang diadakan di Old Trafford. Manchester United muncul pemenang di setiap tiga perlawanan tersebut. Pemenang akan ditentukan melalui sepakan penalti jika kedudukan kedua-dua pasukan terikat selepas tamat 90 minit perlawanan.

(Photo by Chris Brunskill/Fantasista/Getty Images)

Lebih menarik lagi, hasil kutipan tiket perlawanan akan disumbangkan secara sama rata kepada semua pasukan yang bertanding di pusingan pertama Piala FA Inggeris, untuk tujuan amal atau pun projek pilihan yang boleh menyumbang kepada masyarakat. Sekiranya perkara sama ingin dilaksanakan di negara ini, mungkin kelab-kelab komuniti yang mengambil bahagian di pertandingan Piala FA boleh mendapat manfaat dari hasil kutipan ini. Tidaklah banyak, tetapi lebih baik daripada tiada untuk membantu kewangan kelab-kelan ini.

Kedua-dua perlawanan, Supercopa dan Community Shield juga tidak dianggap sebagai perlawanan liga.

Piala Sultan Haji Ahmad Shah

Ada beberapa perkara yang boleh kita ubah untuk memasyurkan lagi pertandingan ini, jika Sepanyol dan England yang mahu dijadikan panduan.

Pertama, perlawanan harus diadakan di venue berkecuali. Ini bagi membenarkan pengagihan tiket perlawanan secara sama rata untuk penyokong dua pasukan bertanding dilakukan. Apabila ini dilakukan, suasana perlawanan bagaikan perlawanan akhir, yang sudah pasti akan menyemarakkan lagi kemeriahan Liga Malaysia sejak dari hari pertama lagi. Malah MFL boleh mengadakan perlawanan Piala Sumbangsih secara timbal balik, sekiranya ia boleh membantu memudahkan penyokong kedua-dua pasukan.

JDT meraih gelaran juara Piala Sumbangsih kali pertama pada tahun 2015.

Kedua, perlawanan Piala Sumbangsih harus dipisahkan dari pertandingan Liga Malaysia. Kami yakin konflik pasti akan tercetus sekiranya langkah ini tidak akan diambil pada masa hadapan. Sebagai contoh, dikhabarkan penyerang pasukan Perak TBG, Gilmar dos Santos tidak boleh diturunkan dalam perlawanan menentang JDT pada Sabtu akan datang akibat layangan kad merah di perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu.

Kami tidak boleh mengesahkan status sebenar Gilmar, tetapi itidak menjadi masalah untuk Gilmar digantung perlawanan akibat kad merah tersebut berdasarkan peraturan sedia ada. Namun demikian, jika hukumannya adalah pergantungan satu perlawanan, Gilmar terpaksa mengharungi pergantungan tersebut di dua pertandingan, yakni Piala Sumbangsih dan perlawanan liga. Ia nampak sedikit tidak adil di situ.

Kedah FA players celebrate after won the 2017 Sumbangsih Cup againts Johor Darul Ta’zim by penalty shoot-out at Larkin Stadium. Pix by Rizanizam/asiana.my

Untuk rekod, perlawanan Community Shield tidak akan mengambil kira layangan kad kuning atau pun merah dari perlawanan sebelumnya. Kad yang diterima pemain turut tidak akan dibawa ke perlawanan liga selepas itu. Ini kerana The FA menganggap perlawanan Community Shield sebagai perlawanan pemanas badan sebelum liga bermula, dan bukan sebagai trofi kejuaraan.

Satu persoalan lain yang turut timbul sekiranya Piala Sumbangsih dan perlawanan liga disatukan ialah apabila pasukan dari Liga Malaysia muncul juara Piala Malaysia pada masa akan datang. Dua pasukan dari dua divisyen sudah tentu tidak boleh dijadikan perlawanan liga.

Rumusan

Langkah oleh MFL untuk menjalin kerjasama dengan badan bola sepak dari Sepanyol dan England adalah langkah yang wajar dipuji dengan harapan ia mampu membawa penambahbaikan kepada industri bola sepak negara di masa hadapan.

Mungkin ada baiknya juga format penganjuran Piala Sultan Ahmad Shah dirombak kembali secara tetap, demi penganjuran yang lebih tersusun, dan adil buat semua pihak.

Apa-apa pun buat JDT dan Perak yang akan bersaing dalam perlawanan merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah esok, kami ucapkan selamat maju jaya!

 

Nota Editor: Artikel ini merupakan pandangan penulis sendiri dan tidak melibatkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN