Jika tempohari, ketua jurulatih Myanmar, Antoine Hey dengan angkuh menyatakan yang beliau dan para pemainnya langsung tidak gentar dengan lautan penyokong Harimau Malaya di Bukit Jalil sebelum akhirnya tertunduk, tumpas 0-3 kepada Malaysia.
Kini giliran penyerang meningkat naik Thailand, Supachai Jaided pula menyatakan perkara yang hampir sama. Bercakap kepada laman sesawang rasmi AFF Suzuki Cup, Supachai mengatakan yang dirinya tidak gementar dengan suasana di Bukit Jalil.
“Saya tidak rasa gementar mengenainya. Kami pernah beraksi di Malaysia dan kami tahu mereka akan didokong oleh penyokong yang ramai apabila kami ke sana nanti,” jelas Supachai.
“Kami hanya akan fokus kepada permainan kami di atas padang dan rasanya tidak perlu untuk kami berasa tertekan disebabkan sokongan daripada penyokong tuan rumah,” tambahnya lagi.
Pemain yang telah mendapat pujian atas aksi cemerlang ketika menewaskan Singapura itu juga menyatakan yang dia tidak memikirkan mengenai pencapaian dirinya melebihi pasukan.
Apa yang penting buatnya adalah pada penghujung perlawanan, pasukan ‘Gajah Perang’ akan memenangi perlawanan. Setakat ini, Supachai telah menyumbang tiga gol peribadi buat Thailand.
Tiga golnya di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 ini juga merupakan tiga gol pertamanya pada peringkat senior. Sebagai pemain muda, berusia 19 tahun, itu merupakan satu prestasi yang sangat baik.
“Memiliki pemain yang berbakat besar adalah sesuatu yang bagus terutamanya yang boleh menjaringkan gol kerana kita tahu di Liga Thailand, kebanyakan penyerang adalah pemain import.
“Sangat penting untuk memiliki dan melahirkan pemain tempatan yang mampu menjaringkan gol,” ujar ketua jurulatih Thailand, Milovan Rajevac sejurus perlawanan menentang Singapura.
Harimau Malaya dan Gajah Perang bakal berentap di perlawanan separuh akhir pada 1 dan 5 Disember depan dan Bukit Jalil bakal menjadi lokasi pertama untuk pertembungan tersebut.
Kedua-dua pasukan merekodkan bolos yang sama iaitu tiga gol tetapi Thailand nyata memiliki barisan peledak yang sangat efektif dengan 15 gol telah terhasil selepas melalui empat perlawanan.
Jadi, adakah Super-Chai juga akan mengalami nasib yang sama seperti Antoine Hey selepas mengeluarkan komen yang hampir serupa mengenai ‘ekor’ Harimau Malaya?