Chanatip Songkrasin (Consadole Sapporo), Teerasil Dangda (Sanfrecces Hiroshima), Theerathon Bunmathan (Vissel Kobe), Kawin Thamsatchanan (OH Leuven), Sarach Yooyen (Muangthong United) dan Charyl Chappuis (Muangthong United) adalah antara bintang Thailand yang tidak berada di dalam skuad Piala AFF Suzuki 2018.
Lupakan sebentar nama-nama bintang Gajah Perang di atas. Ini kerana Thailand kini mempunyai satu lagi nama yang bakal mencipta nama sebagai bakat baru di Asia – Supachai Jaided.
Dari grandstand kini bintang harapan Thailand
Siapa pun kita di zaman kanak-kanak, pasti pernah terdetik untuk mendapat peluang menyarung jersi pasukan negara pada satu hari nanti. Realitinya, tidak semua daripada kita yang mampu mencapai impian tersebut.
Hampir 10 tahun yang lalu, Supachai Jaided adalah salah seorang kanak-kanak yang mempunyai impian tersebut. Bermula dengan menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan Thailand di Stadium Rajamangala, Supachai kini adalah antara pemain yang membantu Thailand mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2018, selepas menundukkan Singapura 3-0 semalam.
Tidak syak lagi Thailand – lawan yang bakal di hadapi oleh Malaysia selepas ini – mempunyai beberapa pemain lain yang turut menyerlah, walaupun tanpa khidmat beberapa pemain utama. Namun kelibat pemain ini pasti berjaya mencuri tumpuan mereka yang menyaksikan perlawanan Thailand-Singapura semalam.
Supachai Jaided vs Akhyar Rashid
Jika Harimau Malaya boleh berbangga dengan kelibat penyerang muda Akhyar Rashid, maka skuad Gajah Perang milik Thailand sudah pasti juga boleh berbangga dengan penyerang muda milik mereka, Supachai Jaided.
Kedua-dua pemain berusia 19 tahun – juga merupakan anggota termuda – di dalam skuad Piala AFF Suzuki 2018 pasukan negara masing-masing.
Kedua-dua pemain beraksi di posisi yang hampir sama – iaitu sebagai pemain sayap, penyerang kedua atau pemain sayap menyerang – turut memiliki corak permainan sama – berani menewaskan pemain pertahanan lawan dengan skil yang dimiliki, lincah dan pantas.
Bezanya, Supachai sehingga kini telah beraksi selama 171 minit melewati empat perlawanan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2018, dan telah menjaringkan 3 gol. Manakala Akhyar pula telah diberi peluang selama 150 minit aksi di Kumpulan A, dan setakat ini masih belum menjaringkan sebarang gol.
Statistik sebegini sebenarnya bukan indikasi jelas kepada perbezaan kemampuan kedua-dua pemain. Ada banyak lagi perkara lain yang perlu diambil kira seperti lawan yang dihadapi di peringkat kumpulan, juga taktikal taktikal Milovan Rajevac yang membenarkan Supachai beraksi lebih ke hadapan di belakang penyerang utama, Adisak Kraisorn – kini dengan lapan gol sepanjang kejohanan.
Namun ianya adalah indikasi jelas kelibat Supachai Jaided wajar diberi perhatian oleh pasukan negara selepas tampil dengan prestasi yang amat meyakinkan sepanjang empat perlawanan Kumpulan B setakat ini.
Super- Chai Jaided dari Pattani
Supachai Jaided berasal dari wilayah Pattani, Thailand. Sepertimana kebanyakan majoriti penduduk Pattani, Supachai juga adalah seorang Islam. Itu menjelaskan cara pemain itu meraikan setiap jaringan beliau bersama Thailand – sujud tanda kesyukuran ke atas kekuatan yang diberikan dari Tuhan atas setiap gol yang dijaringkan.
Karier Supachai di dalam bola sepak bermula seawal usia 10 tahun di Pattani. Pernah beraksi sebagai pemain pertahanan di peringkat awal karier, pemain muda ini juga pernah beraksi sebagai pemain tengah – cukup untuk menjelaskan mengapa Supachai dianggap sebagai seorang pemain yang dianggap versatile.
View this post on Instagram
?Selamat hari raya ❤️ #ขอมาอัฟทุกคนด้วยน่ะทั้งกายและวาจา ?????
A post shared by Arm Chaided (@supachai.9) on
Dalam satu laporan oleh Fox Sports Asia, Supachai dikatakan mulai menyertai akademi bola sepak di Pattani – sebelum dipilih sebagai 10 pemain yang dihantar ke Sweden untuk diberikan pendedahan awal pada 2007.
Pada usia beliau mencecah 14 tahun, Supachai memperolehi panggilan pertama untuk menyertai skuad kebangsaan Thailand untuk pertandingan peringkat umur. Prestasi beliau ketika membantu Thailand muncul juara Piala AFF B-19 pada 2015 pantas menarik perhatian Buriram United pada tahun berikutnya. Beliau hanya berusia 17 tahun ketika mulai mencipta nama bersama Thailand B-19 pada 2015.
Sejak menyertai Buriram United dari Samut Sakhon City Power dengan nilai USD$260,000 pada 2016, bakat dan potensi Sapichai terus meningkat. 19 penampilan dalam musim pertama pada 2017, Sapichai semakin mendapat tempat di dalam skuad utama Buriram dengan 31 penampilan pada musim 2018 untuk membantu pasukan dengan jolokan nama The Thunder Castle itu muncul juara Thai League 1 dua musim berturut-turut.
View this post on Instagram
ขอบคุณครอบครัว✌️ขอบคุณกำลังใจ และทุกคนต้องสบาย❤️
A post shared by Arm Chaided (@supachai.9) on
Pencapaian di Piala AFF Suzuki 2018
15 gol dijaringkan oleh Thailand dalam empat perlawanan setakat ini menjadikan skuad Gajah Perang sebagai pasukan paling produktif di hadapan gol setakat ini.
Lapan daripada jaringan tersebut dihasilkan oleh Adisak Kraisorn, tiga oleh Supachai Jaided, dua lagi gol dijaringkan oleh Pansa Hembivoon, manakala Korrakot Wiriyaudomsiri dan Pokklaw Anan masing-masing dengan satu gol setakat ini.
Jumlah gol oleh Supchai adalah indikasi jelas beliau adalah penjaring utama Thailand selepas Adisak Kraisorn – enam daripada jumlah gol dijaringkan ketika membelasah Timor Leste 7-0 di perlawanan pembukaan.
Supachai hanya memerlukan empat minit aksi di atas padang untuk mencetak nama sebagai penjaring ketika membantu Thailand melengkapkan kemenangan besar ke atas Timor Leste.
Dua lagi gol oleh Supachai ialah ketika mengikat Filipina 1-1 di Manila, dan juga gol kedua perlawanan ketika menunjukkan Singapura laluan keluar dari kejohanan dalam kemenangan 3-0 di Stadium Rajamangala pada malam tadi.
“Ia hebat sekali untuk melihat seorang pemain muda dengan bakat sedemikian. Beliau [Supachai] mempunyai kebolehan untuk menjaringkan gol, dan beraksi di Liga Thai, dimana kebanyakan pasukan bersandar kepada pemain import sebagai penyerang.
“Ia adalah satu perkara yang sangat positif melihat beliau sampai di tahap ini dan terus menjaringkan gol. Saya yakin beliau mempunyai masa depan yang cerah,” ujar Milovan Rajevac mengenai pemain ‘wonder kid’ Thailand itu.
Penutup
Jika taktikal permainan yang sama diterapkan oleh Rejevac dalam perlawanan menentang Malaysia, maka Syahmi Safari dan Aidil Zaquan akan menjadi pemain pertahanan yang akan bersemuka terus dengan Supachai di Bukit Jalil pada 1 Disember hadapan.
Thailand mungkin tanpa pemain-pemain utama mereka yang beraksi di luar negara. Namun kelibat bintang muda meningkat naik seperti Supachai Jaided wajar diberi perhatian oleh Tan Cheng Hoe dan anak buahnya.