Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh percaya pasukannya mampu membayangi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Liga Super sehingga akhir musim ini.
Skuad Tok Gajah ketika ini mengikuti rapat JDT di belakang dengan kedudukan kedua liga selepas mengumpul 24 mata dengan tujuh kemenangan manakala JDT gah di atas dengan 26 mata setakat ini.
Pada musim lalu, Pahang harungi saingan Liga Super dengan cemerlang pada awal musim untuk mencabar JDT lebih rapat sebelum kehilangan momentum pada pertengahan musim sekali gus menamatkan aksi di kedudukan keempat secara keseluruhannya.
Namun, bagi Sumareh, Pahang akan tampil dengan prestasi lebih berbeza pada musim ini untuk menyaingi juara lima kali Liga Super itu hingga akhir musim bagi pastikan tiada laluan mudah kepada JDT pertahankan kejuaraan.
“Pahang tidak lagi sama seperti musim lepas kerana tahun ini kami lebih bersedia untuk harungi saingan hingga ke penghujung musim.
“Kalau tahun lepas terdapat sebarang kecederaan atau penggantungan perlawanan, sukar untuk dapat pemain gantian yang lebih berpotensi.
“Tetapi tahun ini lebih berbeza kerana pemain-pemain muda lain makin matang dan pilihan lebih ramai untuk masing-masing bersedia menggantikan mana-mana pemain jika terdapat kecederaan atau sebagainya”, katanya.
Antara watak baharu yang muncul dalam skuad Pahang ialah Zuhair Aizat dan Saddil Ramdani selain Faisal Abdul Halim yang dilihat kian meningkat dalam prestasi sejak kebelakangan ini berbanding musim lalu.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi kelahiran Gambia itu tidak memandang rendah kredibiliti JDT sambil menyifatkan skuad Harimau Selatan itu sering tampil dengan kejutan tersendiri untuk menyaingi lawan apatah lagi Pahang yang dilihat mampu merebut takhta liga daripada mereka pada bila-bila masa.
Kedudukan itu akan berubah seandainya Pahang mampu memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila bakal berentap dengan JDT dalam perlawanan ke-11 Liga Super pada Ahad ini.
Jelas Sumareh, dia kini masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak permainannya apabila melakukan beberapa perubahan baharu pada musim ini untuk memastikan pihak lawan lebih sukar membaca gerakannya atas padang.
“Saya boleh buat yang lebih baik pada musim ini jika dibandingkan tahun lalu kerana setiap musim, saya percaya pihak lawan makin memahami corak permainan saya.
“Untuk itu, saya tidak boleh selesa dengan teknik yang sama sahaja dan perlu membuat beberapa perubahan teknik yang lebih baik agar mereka tidak mudah untuk menyaingi saya di atas padang”, katanya.