Pemain sayap pasukan negara, Mohamadou Sumareh berkata beliau bertekad untuk membantu pasukan negara menewaskan Thailand pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 untuk memadam kekecewaan penyokong dalam dua perlawanan lalu.
Pasukan negara kendalian Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe memulakan kempen kelayakan ini dengan baik, apabila menewaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Bagaimanapun pasukan negara tewas tipis dua perlawanan selepas itu, termasuk tewas 2-1 kepada UAE di Bukit Jalil, diikuti kekalahan 1-0 kepada Vietnam di Hanoi.
Dua perlawanan seterusnya yang akan berlangsung di Bukit Jalil, menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) dianggap oleh Sumareh sebagai medan terbaik untuk memberikan kegembiraan kembali kepada penyokong setia pasukan negara.
“Selepas menang dengan Indonesia dan apa yang kita tunjukkan ketika perlawanan menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu), kita sudah letakkan satu tahap lebih tinggi. Kami sudah buktikan kami boleh bermain dengan baik,” ujar beliau seperti yang dipetik dari Berita Harian.
2 Hari Lagi
Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe terus giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Tuesday, November 12, 2019
“Apabila kalah kepada Vietnam, saya faham kekecewaan penyokong. Mereka hanya mahu kami berikan aksi terbaik dan kami juga sedar perlu berikan sehabis baik.
“Tidak kira apa pun, kami kena berikan 100 peratus. Kami kena menang dua perlawanan ini bagi berikan keyakinan untuk ke Piala Asia,” katanya.
Pemain naturalisasi negara kelahiran Gambia itu bagaimanapun sedar Thailand bukanlah calang-calang pasukan. Buktinya, skuad Akira Nishino mampu menumbangkan UAE dalam perlawanan lalu.
“Tahun lalu Thailand tanpa beberapa tonggak namun kali ini mereka hadir dengan skuad lengkap dan mencari kemenangan.
“Namun ini tempat kita. Bermain di padang sendiri dan kita ada penyokong setia beri kelebihan kepada kami,” katanya.