Mahmadou Sumareh: Apa Implikasi Naturalisasi Kepada Bola Sepak Malaysia?

Mahmadou Sumareh, nama yang tidak asing lagi bagi bola sepak Malaysia. Larian deras yang membuatkan para pertahanan Liga Malaysia tidak senang duduk.

Memulakan karier di tanah kelahiran beliau, Gambia dengan mewakili kelab Steve Biko. Sumareh kemudian berhijrah ke bumi Malaysia seawal usia 20 tahun dengan mewakili Terengganu FA.

Seterusnya, beliau disambar PDRM sebagai pemain import mereka dan kini menyertai misi kebangkitan pasukan Tok Gajah merampas takhta Liga Super daripada gergasi Selatan – JDT.

Musim ini, barisan serangan yang dimiliki oleh pasukan Pahang boleh dikatakan antara yang paling tajam dalam saingan Liga Malaysia.

Sumareh / kredit foto: Asiana.my

Kebangkitan Pahang FA jelas ditampilkan musim ini dengan cukup bertenaga berbanding musim lepas yang menyaksikan hampir tersingkir ke kancah Liga Perdana.

Antara faktor kebangkitan ini adalah adunan pemain muda dan senior tempatan disamping pemain-pemain import berkualiti seperti Sumareh.

Hal ini menyaksikan pasukan Pahang berminat untuk menjadikan Sumareh sebagai pemain tempatan atas tiket naturalisasi.

Syarat-syarat naturalisasi menurut Perlembagaan Malaysia

Naturalisasi atau warganegara secara kemasukan adalah salah satu cara untuk memohon kerakyatan Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 14 Perlembagaan Malaysia: Kewarganegaraan.

Seseorang layak menjadi warganegara Malaysia melalui empat cara yang berikut:

  • Kuatkuasa undang-undang
  • Pendaftaran
  • Kemasukan(naturalisasi/perwarganegaraan)
  • Percantuman wilayah

Menurut perkara 19(1), seseorang yang berumur lebih daripada 21 tahun dan bukan warganegara malaysia boleh memohon kewarganegaraan Malaysia melalui kemasukan dengan syarat bahawa:

  • Telah bermastatutin di Persekutuan sekurang-kurangnya 10 tahun dalam tempoh 12 tahun sebelum tarikh permohonan itu.
  • Berniat hendak bermastatutin tetap di Persekutuan
  • Berkelakuan baik
  • Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

Kes Mahmadou Sumareh ini adalah berbeza dengan pemain-pemain seperti Mathew Davies, Kiko Insa, dan Darren Lok kerana mereka ini mempunyai darah kacukan Malaysia dan tidak mempunyai masalah untuk mewakili negara.

Undang-Undang FIFA menyebut, pemain bola sepak boleh mewakili negara yang berbeza sebelum umur 21 tahun atau sekiranya melepasi had umur tersebut dibenarkan untuk mewakili negara lain dengan syarat belum mewakili negara asal.

Sebagai contoh, Shaun Maloney yang merupakan anak kelahiran Bintulu, Sarawak tidak layak mewakili Malaysia disebabkan telah mewakili Scotland.

Ironinya, Sumareh masih belum mewakili negara asalnya, Gambia dan ia memudahkan Pahang FA untuk menjadikan beliau sebagai pemain tempatan.

Tetapi, ia perlu melalui syarat undang-undang seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Pandangan peribadi penulis, Sumareh wajar diberi peluang untuk bersama skuad negara kerana komitmen beliau di Liga Malaysia cukup lama.

Beliau hanya perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan undang-undang bagi menjaga keabsahan Perlembagaan itu sendiri.

Apa implikasi naturalisasi?

Penulis melihat bola sepak Asia Tenggara pada hari ini memerlukan naturalisasi bagi memberi saingan kepada negara-negara lain di rantau Asia.

Ia boleh dilihat bagaimana gergasi bola sepak Asia seperti Jepun, mereka juga menggunakan pemain naturalisasi sebagai contoh Mike Havenaar yang kini bermain bersama kelab Belanda – ADO Den Haag.

Banyak lagi negara yang menggunakan pemain naturalisasi dalam skuad mereka seperti Palestin dan Timor Leste (baru-baru isu kerana naturalisasi tidak sah) menunjukkan kejayaan segera diperlukan untuk menutup mulut pengkritik walaupun pada hakikatnya cara ini belum tentu terjamin.

Contohi bola sepak Thailand yang memfokuskan pembangunan pemain muda yang akhirnya memberi kesan jangka masa panjang yang mengagumkan seperti kita lihat hari ini.

Hal ini disebabkan Thailand sanggup memperjudikan nasib mereka bangkit sedikit demi sedikit setelah mengalami fasa suram tatkala Malaysia dan Indonesia menguasai pentas ASEAN.

Malaysia melalui projek National Football Development Programme of Malaysia (NFDP), sebuah program pembangunan bola sepak perlu dijadikan batu asas untuk jangka masa panjang bola sepak tanahair seperti yang dilakukan Thailand.

Buat masa sekarang, pada hemat penulis wajar naturalisasi pemain dilakukan tapi dalam keadaan terkawal.

Jika diluar kawalan, pasti akan memberi kesan yang teruk pada bola sepak negara dan pembangunan bakat muda itu sendiri.

Kesimpulan

Sumareh perlu membuktikan komitmen beliau untuk negara Malaysia.

Naturalisasi ini adalah perkara serius dan sekiranya permohonan Sumareh ini diluluskan, beliau perlu membuktikan kualiti yang ada melayakkan beliau untuk mengubah kualiti bola sepak negara yang semakin merudum.

Jika sekadar main hangat-hangat tahi ayam, bersedialah untuk terima kritikan daripada peminat bola sepak tanah air.

Semoga Sumareh akan terus mengekalkan momentum sebagai salah satu pemain yang tersohor di Malaysia.

Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan oleh Hafizuddin Muhammad. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN