Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh mengakui kecewa kerana gagal membantu skuad Harimau Malaya meraih kejuaraan Piala Suzuki AFF buat kali kedua selepas tewas kepada Vietnam melalui aggregat 2-3 di Hanoi.
Ini adalah penampilan sulung beliau bersama Harimau Malaya di Piala AFF, namun pemain kelahiran Gambia ini sangat bangga dengan semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh rakan sepasukannya.
Malah, beliau juga memohon maaf kepada para penyokong dan sedia membantu negara sekali lagi andai diberi peluang untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
“Setiap pemain beraksi dengan baik dan saya cukup bangga dengan mereka sepanjang kempen kali ini.
“Minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kami gagal memenangi Piala AFF untuk negara tetapi jika ada peluang sekali lagi, saya sedia melakukannya.” katanya dalam Berita Harian.
Dia mengakui ia bukanlah persembahan terbaik Harimau Malaya dan setiap orang mengetahuinya.
“Bukan saya saja, setiap pemain di dalam pasukan merasai kekalahan itu tetapi ia bukanlah hari bertuah untuk kami,” katanya.
Berehat selama sebulan sebelum kembali berlatih dengan Pahang
Selepas ini, pemain sayap Pahang itu akan berehat dan meluangkan masa bersama keluarganya selepas dua bulan bersama skuad kebangsaan.
Beliau terharu keluarganya setiasa bersamanya memberikan kata-kata semangat setiap kali tamat perlawanan sepanjang kempen Piala AFF.
“Keluarga saya sering memberikan kata-kata semangat selepas tamat perlawanan,” katanya.
Sumareh dijangka akan menyertai sesi latihan skuad tok gajah pada bulan januari tahun depan sebagai persiapan untuk menghadapi musim baharu Liga Malaysia.