Pemain Pahang, Mohamadou Sumareh menyatakan kepada Berita Harian yang pada awalnya dia merasakan panggilan untuk menyertai kem skuad kebangsaan adalah satu gurauan.
Ini kerana, ketika mendapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenalinya itu, dia sedang merancang percutian bersama rakan sepasukannya di Pahang, Patrick Cruz.
“Sebenarnya, saya sedang merancang percutian bersama rakan sepasukan, Patrick Cruz sebelum mendapat panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.
“Saya menjawab panggilan dan pemanggil memperkenalkan diri sebagai jurulatih (Tan Cheng Hoe) sebelum menyatakan dia mahu memanggil saya untuk kem latihan skuad kebangsaan.
“Pada mulanya saya ingatkan ia panggilan main-main tetapi rupa-rupanya dari Cheng Hoe (jurulatih skuad kebangsaan) sendiri yang menghubungi saya,” jelasnya kepada Berita Harian.
Sumareh merupakan antara enam muka baharu yang mendapat panggilan untuk dua aksi persahabatan menentang Sri Lanka dan Republik Kyrgyz pada 12 dan 16 Oktober ini.
Ini juga merupakan kali pertama dalam sejarah, Harimau Malaya akan membariskan pemain naturalisasi dan pastinya ini akan menjadi pembuka jalan buat pemain-pemain lain selepas ini.
“Panggilan untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sememangnya tidak dijangkakan, jadi saya berterima kasih kepada jurulatih,” ujar pemain yang berusia 27 tahun itu lagi.
“Jadi, saya gembira dan teruja kerana ini adalah satu perkembangan yang baik untuk karier saya,” jelasnya lagi sambil menyatakan yang dia akan memberikan yang terbaik.
Untuk musim 2018, bersama Pahang, Sumareh atau ‘Keli Boy’ telah meraih kejuaraan Piala FA, kedudukan ke-4 Liga Super dan juga beraksi di suku akhir Piala Malaysia baru-baru ini.
Dia telah menyumbang 4 gol sepanjang musim ini dan telah beraksi dalam hampir semua perlawanan Tok Gajah serta merupakan antara tonggak penting buat mereka.
Sumareh mula beraksi di Liga Malaysia (Liga M) sejak musim 2013 bersama-sama PDRM yang ketika itu bersaing di Liga Premier sebelum berpindah ke Perlis dan kini bersama Pahang.
Menariknya, aksi persahabatan kedua menentang Republik Kyrgyz akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, di mana Sumareh telah mendapat debut sulungnya di Malaysia pada 2013.