Sumareh Digantung Dua Tahun, Tak Boleh Main Lagi Di Pahang

Penyerang sayap kebangsaan Mohamadou Sumareh didapati bersalah atas empat pertuduhan dan dikenakan hukuman gantung selama dua tahun oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) semalam.

Menurut PBNP, keempat-empat pertuduhan tersebut dibuat selepas Sumareh didapati melanggar terma kontraknya dengan persatuan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 4.11 kontrak pemain dan artikel 10.05 perlembangaan PBNP 2004 iaitu membuat kenyataan akhbar tanpa mendapat kebenaran daripada PBNP.

Dalam pertuduhan kedua pula, Sumareh didapati bersalah melanggar artikel 6.6 kontrak pemain di mana beliau merujuk pertikaiannya dengan PBNP terus kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) (Dispute Resolution Chamber) tanpa merujuk terlebih dahulu kepada National Dispute Resolution Chamber Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara itu pertuduhan ketiga pula mendapati Sumareh bersalah kerana melanggar artikel 5.1 dalam kontrak pemain di mana beliau gagal menghadirkan diri ke sesi latihan bersama skuad Pahang bermula 3-28 Ogos 2020.

Pertuduhan keempat dan terakhir pula mendapati Sumareh bersalah melanggar artikel 5.1 kontrak pemain apabila gagal menghadirkan diri pada perlawanan Liga Super antara Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Kuantan pada 28 Ogos 2020.

Kesemua pertuduhan tersebut telah dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PBNP Rizal Chek Hashim semalam.

Sumareh digantung dua tahun

Rizal turut mengumumkan hukuman yang dikenakan oleh PBNP kepada Sumareh atas keempat-empat pertuduhan tersebut.

Menurutnya berdasarkan kepada perkara 6 perlembangaan PBNP 2014 dan juga berdasarkan kepada kod tatatertib FAM (edisi 2015), jawatankuasa itu mengenakan hukuman dua tahun penggantungan daripada mengambil bahagian dalam aktiviti yang berkaitan dengan sukan bola sepak terhadap Sumareh bagi setiap pertuduhan.

Keempat-empat hukuman akan dijalankan serentak bermula semalam (27 Oktober). Ini bermakna Sumareh akan digantung daripada bermain dalam mana-mana aktiviti bola sepak anjuran PBNP bermula semalam sehinggalah 27 Oktober 2023.

“Keputusan ini akan dimaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk dipanjangkan kepada pihak berkaitan,” kata Rizal.

Beliau turut menegaskan kesemua pertuduhan telah dibuat dan melalui proses notis dan pendengaran seperti termaktub di dalam peruntukan undang-undang PBNP.

“Sumareh diberi notis sebanyak dua kali bagi menjawab pertuduhan dan juga diminta untuk hadir bagi menjawab segala pertuduhan tetapi beliau memilih untuk tidak hadir,” katanya.

Sebelum ini, Sumareh mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan tidak menyertai latihan bersama skuad Pahang kira-kira sebulan selepas aksi liga disambung semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Pada tempoh waktu beliau ‘hilang’ dari kem Pahang itu, Sumareh telah dilaporkan mendapat tawaran kontrak bergaji RM70,000 sebulan dari Selangor FC. Tetapi akhirnya beliau memilih untuk menandatangani kontrak dengan kelab Thai League 1, Police Tero FC.

Sumareh dikatakan berhak berbuat demikian selepas mengaktifkan klausa 8.7 yang mengakibatkan kontrak beliau bersama Pahang telah terbatal. Ini selepas Pahang dikatakan gawal membayar gaji mengikut perjanjian ditetapkan kedua-dua pihak.

Pahang bagaimanapun menafikan dakwaan Sumareh.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

RASMI: Mohamadou Sumareh Diumum Pemain Baharu Police Tero FC

Sumareh: Saya Rasa Tengku Muda Tidak Dimaklumkan

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN