Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima perkhabaran daripada Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.
Menurut sumber daripada Harian Metro, Sumareh mungkin akan berdepan hukuman penggantungan empat perlawanan selepas beliau dilayangkan kad merah pada minit akhir aksi final Piala AFF 2018 bertemu Vietnam di Hanoi.
Walaubagaimanapun, FAM akan membuat rayuan kepada AFF untuk dikurangkan hukuman itu namun Sumareh tetap akan didenda.
“Tindakan mungkin diambil terhadap Sumareh kerana kad merah itu. FAM akan membuat rayuan namun Sumareh mungkin tetap didenda dan digantung empat perlawanan,” katanya.
Sumber itu memberitahu Sumareh menerima kad merah di Stadium MyDinh daripada pengadil Iran, Alireza Faghani selepas penyerang Pahang itu didakwa melontarkan kata-kata kesat atau terbabit dengan kekasaran fizikal terhadap pegawai perlawanan.
“Apapun kesalahan Sumareh itu besar dan sudah tentu mengundang hukuman berat,” kata sumber Harian Metro berkenaan.
Insiden itu dikatakan berlaku ketika Shahrul Saad diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan susulan kad kuning kedua.
Jika dakwaan ini benar, ia bakal menyaksikan pengulangan drama apabila penjaga gol negara, Farizal Marlias dikenakan penggantungan setahun daripada semua pertandingan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tahun lalu.
Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu didapati bersalah kerana mengasari pengadil selepas kelabnya tewas 2-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC ketika bertemu Ceres Negros di Filipina, sekali gus tersingkir daripada saingan.
Bukan sekadar penggantungan, malah tindakan agresif Farizal itu menyebabkan dia turut didenda AS$40,000 (RM166,000).
Selain Alireza, pengadil aksi final AFF itu turut membabitkan Reza Sokhandan dan Mohammad Reza Mansouri dari Iran serta Foo Chuan Hui (Singapura).
Penggantungan itu mungkin menyaksikan Sumareh bakal terlepas aksi Pestabola Merdeka pada Mac selepas skuad senior sah menggantikan skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) yang akan mengharungi AFF B23 di Kemboja dan Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.