Sultan Selangor Murka Kepada MFL, FAM Dan Presiden Hamidin

Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tampil murka dengan kenyataan dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengenai bentuk hukuman telah dikeluarkan kepada pasukan tersebut.

Terdahulu, The Red Giants sah menerima empat hukuman daripada MFL selepas keputusan mereka untuk menarik diri daripada kejohanan Piala Sumbangsih 202/2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hukuman tersebut ialah denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL, Pemotongan tiga (3) mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025, dan aksi seterusnya membabitkan Selangor bersama JDT selepas ini tanpa kehadiran penonton.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh laman rasmi DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj Sultan Selangor, di Facebook, baginda jelas kecewa dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin.

“Berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga merupakan aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 (Selangor FC telah memohon penangguhan), Beta mengambil maklum dan telah membaca di media sosial serta suratkhabar.

“Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

“Pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa telah menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim. Beberapa lagi insiden serangan terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku pada minggu yang sama.

“Disebabkan itu, Beta telah pun memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana para pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan. Bagaimanapun, pihak MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Dato’ Seri Harun Idris sehingga Beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang ini. Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini. Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan halatuju pasukan Selangor FC.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung di dalam FAS. Namun jika Beta merupakan peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, Beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu.

“Beta ingin mengingatkan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi. Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini.

“Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” titah baginda di media sosial Facebook dan mengundang pelbagai komen dalam kalangan rakyat serta penyokong bola sepak di Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN