Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 keatas Sevilla dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) yang berlangsung di Ramón Sánchez Pizjuán Stadium.
Sevilla yang hampir mengejutkan Barcelona pada perlawanan liga hujung minggu lalu jelas tidak menghiraukan reputasi lawan yang ditemui pada perlawanan ini.
Anak buah Vincenzo Montella kelihatan garang mengasak ke kubu Bayern Munich yang dikemudi penjaga gol, Sven Ulreich.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-31 selepas hantaran Sergio Escudero berjaya disambar Pablo Sarabia untuk membuka tirai jaringan.
Jaringan tersebut bagaimanapun menimbulkan pertikaian para pemain Bayern Munich yang mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan Sarabia.
Namun, pengadil perlawanan, Daniele Orsato dari Itali mengesahkan jaringan tersebut.
Kegembiraan penyokong tuan rumah tidak berpanjangan dan hanya bertahan enam minit sahaja.
Hal ini kerana pemain pertahanan kanan, Jesus Navas tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha beliau menghalang hantaran lintang dari Franck Ribery.
Kedua-dua pasukan saling mengancam ke kubu lawan masing-masing pada babak kedua.
Bayern Munich akhirnya berjaya menyempurnakan peluang terhidang menerusi Thiago Alcantara.
Menerusi satu hantaran lambung dilakukan Ribery yang tepat menjumpai Thiago, pemain antarabangsa Sepanyol itu berjaya menanduk masuk bola untuk mengesahkan kemenangan 2-1 buat skuad anak buah Juup Heynckes.
Keadaan yang menyaksikan sekali lagi para pemain Sevilla gagal menggunakan kelebihan jaringan yang dimiliki.
Pada perlawanan La Liga hujung minggu lalu, mereka selesa mendahului Barcelona dengan keputusan 2-0 namun terpaksa berputih mata apabila The Blaugrana kembali menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan untuk keputusan terikat 2-2.
Walaupun hanya mencatatkan kemenangan tipis, keputusan 2-1 ini mampu untuk menjadi bekalan berguna buat Bayern Munich menjelang pertemuan kedua di Allianz Arena pada 12 April nanti.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh OptaFranz, kemenangan yang diraih Bayern Munich pagi tadi merupakan kemenangan ke-12 berturut-turut buat pengurus, Juup Heynckes dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Pencapaian ini menjadikan beliau sebagai pengurus pertama yang mencipta rekod tersebut.
12 – Jupp #Henyckes (@FCBayernEN) is the first coach to win 12 consecutive games in the history of the champions league. Legend. #SEVBAY pic.twitter.com/bxXGuze8k5
— OptaFranz (@OptaFranz) April 3, 2018