Barcelona turut mengintai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan wakil Itali, AS Roma 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Nou Camp.
Menarik untuk diperkatakan pada perlawanan ini adalah dua jaringan sendiri yang dihasilkan pemain pasukan lewat dan juga jaringan sulung buat Luis Suarez dalam saingan berprestij itu pada musim ini.
Seperti kebiasaan, Barcelona turun dengan corak permainan menarik dan serangan berbahaya sering dilancarkan ke kubu AS Roma.
Usaha bertali arus mereka membuahkan hasil pada minit ke-38 untuk membuka tirai jaringan.
Ketua pasukan AS Roma, Daniele De Rossi yang berusaha untuk menghalang gerakan Lionel Messi tertolak bola masuk ke dalam gawang sendiri untuk jaringan pendahuluan buat tuan rumah.
Bukan satu tetapi dua jaringan sendiri dilakukan oleh pemain AS Roma.
Kini giliran Konstantinos Manolas yang cuba untuk mengeluarkan bola hasil hantaran lintang dari Ivan Rakitic dari kawasan bahaya turut tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-55.
Barcelona terus bernafsu untuk menambah jaringan ketiga dan Gerarrd Pique turut meletakkan nama beliau selaku penjaring pada perlawanan yang dihadiri 90,106 orang penyokong ini.
Pique yang tidak dikawal pertahanan AS Roma dengan mudah menolak masuk bola susulan percubaan pertama dilakukan Luis Suarez yang berjaya dinafikan Alisson Becker.
Ketinggalan tiga gol tidak mematahkan semangat pasukan pelawat untuk memburu jaringan. Serangan demi serangan yang dicipta akhirnya menemui sasaran pada minit ke-80 menerusi Edin Dzeko.
Penyerang Uruguay, Luis Suarez yang ketandusan jaringan dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah musim ini akhirnya berjaya mencipta jaringan sulung pada lewat babak kedua untuk mengesahkan kemenangan 4-1 buat skuad bimbingan Ernesto Valverde itu.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu dalam aksi kedua di Stadio Olimpico pada 11 April nanti.