Pahang mendapat kemenangan moral menjelang kunjungan ke Ipoh minggu hadapan apabila berjaya menumpaskan Perak dengan keputusan 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2017 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Tuan rumah tidak menunggu lama bagi mengancam kubu Perak apabila ketua pasukan, Matthew Davies melakukan percubaan sipi disebelah kanan pintu gol Perak seawal minit ke-2 perlawanan.
Pahang yang mempamerkan corak permainan pantas sejak awal permainan berjaya memperolehi jaringan pada minit ke-12 namun Wan Zaharulnizam Wan Zakaria telah dikesan berada dalam keadaan ofsaid.
Usaha berterusan Pahang yang begitu berbahaya pada perlawanan ini membuahkan hasil apabila berjaya menghasilkan 3 jaringan dalam masa 5 minit.
Gol pertama hadir menerusi Wan Zaharulnizam di minit ke-35 setelah menyudahkan hantaran lintang Matthew Davies yang berjaya menyambar tandukan lemah ke belakang yang dilakukan Nazirul Naim Che Hashim bagi jaringan pendahuluan.
Belum sempat pemain Perak memperkemaskan aksi mereka, giliran Afif Amiruddin pula meledakkan jaringan kedua selang tiga minit kemudian selepas berjaya melakukan rembatan susulan akibat keadaan kelam kabut dihadapan pintu gol Perak.
Stadium Darul Makmur terus gamat dengan sorakan penyokong tuan rumah yang meraikan jaringan ketiga menerusi Matthew Davies yang tidak dikawal untuk terus membolosi Hafizul Hakim Khairul Nizam di gawang gol Perak pada minit ke-40.
Perak turut mendapat peluang untuk merapatkan jurang gol tetapi percubaan yang dilakukan Yashir Pinto berjaya dinafikan penjaga gol Pahang, Wan Muhd Azraie.
3 jaringan pantas tersebut memisahkan kedua-dua pasukan hingga tamat babak pertama.
Separuh masa kedua
Pahang terus bernafsu untuk menambah jaringan apabila melancarkan serangan berbahaya pada minit ke-53 namun pertahanan Perak lebih pantas menghalang percubaan tersebut.
Matheus Alves dan Mohamadou Sumareh menjadi duri dalam daging pada perlawanan ini dengan larian pantas serta kawalan bola memukau yang dipamerkan dua awang import Pahang ini.
Kedua-dua pemain tersebut ternyata berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Perak.
Perak tampil berbeza pada babak kedua dengan memperkemaskan corak permainan bagi menggandakan asakan.
Gilmar Jose Da Silva memperoleh peluang keemasan buat pelawat apabila membuat larian deras yang berjaya menewaskan dua pertahanan Pahang, namun rembatan dilakukannya berjaya ditepis Wan Azraie pada minit ke-58.
Gilmar berjaya merapatkan kedudukan berselang 10 minit kemudian setelah berjaya melakukan sepakan voli cantik susulan daripada percubaan Zaquan Adha yang terkena palang.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral anak buah Mehmet Durakovic bagi menambah jaringan sebagai bekalan jaringan di tempat lawan dengan melakukan beberapa percubaan ke kubu tuan rumah.
Bagaimanapun jentera pertahanan Pahang berjaya mengelakkan Perak dari menghasilkan jaringan selepas itu.
Bekalan dua gol yang dibawa Pahang ke Stadium Perak minggu hadapan memberikan sedikit kelegaan buat Matthew Davies dan rakan sepasukan kerana Perak sudah pasti akan berhempas pulas di laman sendiri untuk memadam kelebihan yang dimiliki Pahang tersebut.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan kedua di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu hadapan.
Pahang – Wan Muhd Azraie Wan Teh (Penjaga Gol), Matthew Thomas Davies (Ketua Pasukan) (Ahmad Syamim Yahya), Mohd Afif Amiruddin, Jaewon Heo, Mohd Saifulnizam Miswan, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohd Faisal Mohd Rosli, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (Kogileswaran Raj), Mohamadou Sumareh (Christie Jayaseelan), Yamil Jorge Gonzalo Romero & Matheus Alves Leandro
Perak – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam (Penjaga Gol), Amirul Azhan Aznan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam (Ketua Pasukan), Thiago Junio De Aquino, Nazirul Naim Che Hashim, Leandro Dos Santos Oliveira, Shahrul Mohd Saad (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Mohd Nazrin Mohd Nawi (Muhamad Zaquan Adha Abd Radzak), Mohamad Nasir Basharudin, Yasir Armando Pinto Islame & Gilmar Jose Da Silva Filho
Kredit foto : Pahang FA