Jaringan tunggal oleh Danial Ifran sudah cukup untuk memastikan Pulau Pinang melangkah ke perlawanan ke perlawanan pingat emas selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 1-0 dalam separuh akhir Sukan Malaysia (SUKMA) 2022.
Perlawanan separuh akhir tersebut telah diadakan di Stadium UiTM Shah Alam.
Kedua-dua pasukan turun untuk memburu slot ke perlawanan pingat bertemu Terengganu yang terlebih dahulu layak selepas menewaskan Selangor pada aksi sebelah petang di Stadium UKM, Bangi.
Dalam perlawanan tersebut, Pulau Pinang terlebih dahulu menguji penjaga gol Wilayah Persekutuan seawal minit keempat namun percubaan yang dilakukan agak lemah.
Selang beberapa minit kemudian, giliran Wilayah Persekutuan pula menguji barisan pertahanan Pulau Pinang namun penjaga gol lebih bersedia dalam percubaan tersebut.
Permainan yang dipamerkan kedua pasukan ini agak laju dan saling berbalas serangan untuk mencari gol awal.
Wilayah Persekutuan cuba menggunakan kelebihan melalui lontaran jauh ke dalam kotak penalti untuk mencari gol.
Usaha Pulau Pinang akhirnya berjaya apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Wilayah Persekutuan.
Danial yang merupakan ketua pasukan Pulau Pinang tidak mempersiakan peluang tersebut untuk meletakkan pasukannya mendahului 1-0 pada minit ke-39.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Wilayah Persekutuan mempunyai beberapa peluang namun barisan pertahanan dapat mematahkan serangan mereka.
Perlawanan agak tegang dan berlaku beberapa kekasaran keras sehingga pengadil terpaksa melayangkan kad kuning kepada pemain yang terlibat.
Bermula separuh masa kedua, Wilayah Persekutuan bermula garang dan mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas lontaran jauh gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol dan pemain Pulau Pinang berjaya menyelamatkan kedudukan tersebut.
Wilayah Persekutuan terus menekan barisan pertahanan melalui serangan bertali arus dan hampir mendapatkan jaringan terutama melalui lontaran jauh.
Anak-anak buah Zopkipli Samion yang terdesak untuk mendapatkan gol terus menekan dengan pelbagai gerakan dan berjaya mencipta banyak peluang namun pemain mereka sendiri gagal memanfaatkan peluang yang terhidang biarpun penjaga gol sudah tewas.
Dalam Wilayah Persekutuan ghairah mengatur serangan, skuad kendalian Akmal Rizal melakukan satu serangan balas pantas dan hampir menggandakan kedudukan namun penjaga gol berjaya menepis keluar percubaan tersebut.
Skuad muda Pulau Pinang sekali terlepas peluang untuk menjaringkan gol selepas hantaran cantik rakan sepasukan gagal disudahkan.
Wilayah Persekutuan sekali hampir menyamakan kedudukan namun sekali lagi pemain mereka gagal mengambil peluang keemasan tersebut.
Separuh masa kedua perlawanan dilihat agak berat sebelah di mana anak buah Zopkipli lebih menguasai perlawanan sementara Harimau Kumbang pula lebih banyak bertahan.
Di hujung perlawanan, berlaku sedikit kekecohan melibatkan pemain dan pegawai pasukan sehingga pengadil perlawanan terpaksa melayangkan kad merah kepada pemain dan pegawai Wilayah Persekutuan dan kad kuning kepada pemain Pulau Pinang.
Pulau Pinang akan bertemu Terengganu pada aksi penentuan pingat emas pada Jumaat ini sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan akan merebut pingat gangsa.