Kedah Darul Aman (Kedah) masih lagi berpeluang untuk memburu slot ke saingan Asia musim hadapan, selepas mereka baru sahaja mencatat kemenangan penting sebelum itu dalam saingan Liga Super 2023.
Terdahulu, Sang Kenari berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ketika berhadapan Kuala Lumpur City (KL City) di gelanggang lawan dalam aksi yang cukup sengit sepanjang tempoh 90 minit perlawanan berlangsung.
📸Sorotan foto aksi malam ini, semangat kebangkitan tiba tepat pada masanya, 3 mata berharga.
FT | KL CITY FC 0 – 1 KDA FC
⚽ 45+2' (P) Ifedayo (KDA FC) pic.twitter.com/V83AgiarFA
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) September 30, 2023
Jaringan tunggal daripada penyerang berbisa mereka iaitu Ifedayo Olusegun cukup untuk menyaksikan Kedah membawa tiga mata berharga pulang ke Alor Setar bagi menghidupkan lagi peluang mereka memburu slot ke saingan AFC musim hadapan.
Setakat ini, peluang tersebut masih lagi terbuka buat skuad kendalian Nafuzi Zain selepas mereka hanya dibezakan lima mata sahaja berbanding Selangor di tangga kedua Liga Super.
Malah, Kedah juga masih lagi berkelebihan satu perlawanan berbanding The Red Giants, dan pasukan tersebut tidak boleh keciciran sebarang mata untuk baki saingan akan datang.
Sang Kenari juga bakal membuat perhitungan seterusnya bersama Selangor pada 2 Disember ini di Stadium Darul Aman (SDA) dengan sebelum itu mereka perlu mengharungi dua perlawanan menentang Negeri Sembilan dan Kelantan.
Tampil optimis, Nafuzi menyatakan kini skuad kendaliannya berada di landasan tepat untuk berjuang secara habis-habisan sehingga ke penghujung musim bagi mengesahkan kedudukan mereka.
Walaupun ianya dianggap sukar, namun segalanya tiada mustahil menurut pengendali muda tersebut dengan menyerahkan segalanya kepada para pemain sendiri.
“Dalam situasi ini, ia (kedudukan naib juara) berkelebihan kepada Selangor. Tetapi kita masih ada target kerana kita tahu sekarang kita berada di landasan yang betul. Kita akan melawan sampai akhir musim.
“Kita cuba yang terbaik untuk menang empat lagi perlawanan. Saya rasa kalau kita menang empat perlawanan, kita akan dapat tempat kedua.
“Kita tahu ianya sukar, tapi tak mustahil. Terpulang kepada pemain,” kata Nafuzi menerusi laporan telah dikeluarkan sebelum itu menerusi Harian Metro.
KEDUDUKAN LIGA SUPER 2023
Carta #LigaSuper2023 setakat perlawanan #LS22 pic.twitter.com/JA4t7uERM4
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) September 30, 2023
Ini menjadi musim pertama buat Nafuzi bagi membimbing Kedah, selepas beliau meninggalkan suatu legasi yang sangat positif bersama Terengganu sejak beberapa musim lalu.
Walaupun tampil dengan sedikit tidak konsisten, secara keseluruhan Nafuzi berjaya menjulang Sang Kenari kini untuk tampil lebih baik berbanding tahun lalu dalam persaingan Liga Super.