Kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberikan kelegaan buat Ketua Jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner.
Jaringan tiga pemain import Herlison Caion, Hyuri Henrique dan Yazan al-Arab sudah cukup untuk memastikan Sri Pahang pulang ke Kuantan dengan tangan kosong.
Kemenangan ini cukup penting buat jurulatih warga Jerman tersebut yang mahu memastikan pasukannya berada pada kedudukan yang baik sebelum saingan berhenti rehat untuk tempoh tujuh minggu.
— Selangor FC (@selangorfc) April 29, 2022
“Pertamanya, kami memang di bawah tekanan, tapi pemain-pemain menjalankan tugas dengan baik terutamanya pada separuh masa pertama. Persembahan yang cukup memuaskan,” ujar Feichtenbeiner dalam sidang media selepas perlawanan.
“Kami berhasil mendominasi pasukan lawan dan kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol pada separuh masa pertama, tetapi saya berpuas hati dengan apa yang telah mereka tampilkan.
“Separuh masa kedua permainan agak turun naik, Pahang juga mendapat beberapa peluang, tetapi selepas gol kedua kami lebih tenang dan terus mendominasi sehingga tamat 90 minit, jadi kami berhak untuk menang.
“Semasa [bulan] Ramadan, tak mudah untuk mengekalkan tenaga, apatah lagi untuk bermain dengan tekanan tinggi sepanjang 90 minit, tetapi secara keseluruhan saya amat gembira dengan prestasi pasukan pada malam ini.”
Ketika ditanya mengenai penangguhan jadual liga oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk memberi laluan kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang akan membawa cabaran ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Feichtenbeiner menganggap ia adalah keputusan adil buat pasukan yang terlibat.
“Kita mahu sokongan diberikan kepada pasukan kebangsaan, tetapi masalah besar buat saya dan Selangor jika kami kehilangan sembilan orang pemain sepanjang tempoh itu,” tambahnya.
“Kami cuma ada 15 orang pemain tempatan dalam skuad, daripada jumlah ini, sembilan orang akan pergi [Sukan SEA]. Jadi hanya tinggal enam orang pemain tempatan, kami tak boleh [teruskan] bermain.
Senarai 31 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Skuad B-23 Kebangsaan Menjelang Sukan SEA 2021 Di Vietnam
▶️ Baca penuh siaran media ini di https://t.co/vBtd6czQ4P#FAM #HarimauMalaya #Vietnam2021 pic.twitter.com/OdwZLCKANy
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) April 16, 2022
“Kita mahu pasukan kebangsaan diberi sokongan dan sekarang terima kasih kepada MFL kerana menangguh perlawanan kami. Saya rasa ini adalah pilihan terbaik dan keputusan ini adil untuk kedua-dua belah pihak.”
Feichtenbeiner juga sempat menitipkan ucapan buat penyokong Selangor yang akan menyambut perayaan Aidilftri tidak lama lagi.
“Untuk penyokong Selangor, nikmati Hari Raya di kampung halaman masing-masing. Apabila kembali untuk bahagian seterusnya musim ini, kami perlukan sokongan penuh agar kita mendapat kemenangan yang seterusnya.”