Malaysia meneruskan perjalanan mereka dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan ujian sebenar bermula jam 5 petang ini.
Selepas mendapatkan kemenangan selesa bertemu Laos tempoh hari, skuad kendalian E. Elavarasan akhirnya akan memulakan cabaran sebenar dalam mencari pingat emas dari acara bola sepak.
Jadual perlawanan nyata memihak Harimau Muda apabila bertemu dengan lawan lebih mudah terlebih dahulu sebelum menentang negara-negara yang lebih hebat.
Ini amat bagus dalam mencari momentum awal untuk dibawa ke aksi seterusnya.
Walaupun sudah memiliki momentum, Thailand juga mempunyai perkara yang sama selepas menewaskan Singapura 3-1 dalam aksi pertama.
Jadi, boleh dikatakan kedua-dua pasukan memulakan saingan dengan baik dan persaingan terbuka bagi mencari tiga mata petang ini.
Menyedari kekuatan Thailand yang sukar untuk ditumbangkan, penyokong Malaysia berharap yang kemenangan berjaya untuk diraih walaupun susah.
Tak minta banyak, menang tipis pun jadilah – lebih kurang begitulah harapannya.
Di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), rata-rata penyokong optimis dengan misi petang ini.
“Dapat menang 1-0 pun tak apa,” kata Jafryjeff.
“[Peluang] 50-50, InsyaAllah Malaysia menang 2-1,” ujar Razis Sabri.
Rata-rata penyokong jelas positif dengan peluang yang ada untuk Malaysia dan berharap semuanya akan menjadi baik-baik saja buat Harimau Muda petang ini.
Kemenangan ke atas Thailand akan mencerahkan peluang untuk mara ke separuh akhir dengan aksi seterusnya buat skuad Elavarasan adalah Vietnam dan Singapura.
Semoga kemenangan berpihak kepada kita.