Menjelang saingan Sukan SEA 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi di Kemboja, Malaysia dilihat sebagai salah satu skuad pilihan menerusi konsistensi dipamerkan mereka sebelum itu dalam beberapa kejohanan.
Tampil dikendalikan oleh E. Elavarasan, skuad bawah 22 (B-22) negara sedia untuk mencabar mana-mana pasukan walaupun diletakkan dalam kumpulan yang dianggap maut edisi kali ini.
Tahniah skuad Harimau Malaya B-22 kendalian E. Elavarasan menjuarai kejohanan Merlion Cup 2023 edisi kesembilan selepas menewaskan Hong Kong B-22 2-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.#FAM #HarimauMalaya #MerlionCup2023 pic.twitter.com/6BPc7mzO9O
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 26, 2023
Menyedari skuad kebangsaan berada dalam kumpulan yang kuat, Elavarasan tampil optimis mengenai kemampuan dimiliki para pemain kendaliannya untuk cuba mengintai peluang ke separuh akhir sebelum melangkah di pentas final.
Menerusi sasaran dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad kendalian Elavarasan kali ini, pasukan B-22 negara perlu melangkah ke final serts cuba mendapatkan pingat emas, selepas kali terakhir meraihnya pada edisi 2011 di Indonesia.
“Satu undian menarik dan pada masa sama mencabar selepas kami diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan pasukan pilihan pertandingan seperti Thailand.
“Di sebalik pasukan negara harus realistik dengan keputusan undian itu, saya kekal optimis skuad Harimau Malaya B-22 memiliki potensi sama seperti pasukan lain.
“Kami turut memiliki keyakinan untuk turun di Sukan Sea Kemboja nanti. Fokus dan visi kami tidak akan berubah.
“Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia sepenuhnya,” katanya menerusi Harian Metro.
Malaysia kali ini diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam yang merupakan juara bertahan pada edisi lalu, Thailand, Singapura serta Laos yang dianggap mempunyai peningkatan tersendiri sejak beberapa tahun.
Di Kumpulan A, segalanya tampak lebih seimbang dengan menyaksikan tuan rumah iaitu Kemboja, Indonesia Myanmar, Filipina, serta Timor Leste bakal berentap dalam misi untuk mara ke pusingan separuh akhir.
Untuk saingan kali ini, Malaysia B-22 dilihat tampil lebih menyakinkan menerusi corak permainan positif dipamerkan mereka ketika saingan Merlion Cup di Singapura bawah kendalian Elavarasan.
Keputusan Masa Penuh
Final Merlion Cup 2023 | Ahad, 26 Mac 2023
HONG KONG B-22 🇭🇰 1-2 🇲🇾 MALAYSIA B-22
⚽️ Lau Ka Kiu 80’
⚽️ Najmudin Akmal 74’ Safwan Mazlan 79’#FAM #HarimauMalaya #MerlionCup2023 pic.twitter.com/myNLFEQoj9— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 26, 2023
Malah, kualiti para pemain seperti Ubaidullah Shamsul, Faiz Mazlan, Aiman Afif, Najmudin Akmal, Fergus Tierney serta Haqimi Azim tampil dengan sangat menyakinkan dalam kalangan para penyokong bola sepak negara.
Kecemerlangan ditampilkan itu menyaksikan Malaysia berjaya dinobatkan sebagai juara saingan Merlion Cup dan ia memberi motivasi besar buat para pemain sebelum kejohanan Sukan SEA bermula.