Malaysia mengutip tiga mata pertama dalam aksi peringkat kumpulan temasya Sukan SEA 2021 dengan membuat kejutan menewaskan pasukan pilihan Thailand dengan keputusan 2-1.
Pertukaran taktikal yang dilakukan oleh Brad Maloney pada separuh masa kedua ternyata memberikan impak yang cukup luar biasa apabila berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol sebelum Azfar Fikri Azhar muncul wira dengan menghasilkan jaringan pada minit-minit akhir.
15 minit pertama, Thailand lebih banyak mengasak kubu Malaysia dan sempat beberapa menguji Azri Ghani dan skuad kendalian Brad Maloney jelas gagal mengimbangi corak permainan pantas yang ditampilkan oleh pasukan lawan.
Minit ke-30, pemain bek kanan Hairey Hakim terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan digantikan dengan Safwan Mazlan.
Thailand akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi Patrik Gustavsson yang berjaya mengatasi dua pemain pertahanan sebelum rembatan lemah kaki kirinya berjaya mengelirukan Azri Ghani.
Malaysia akhirnya dapat melakukan percuban tepat pertama pada minit ke-39 menerusi Nik Akif Syahiran yang bijak merampas bola dari kaki lawan sebelum melepaskan rembatan yang berjaya diselamatkan penjaga gol Kawin Thamsatchanan.
Ketempangan Thailand bermula pada minit ke-41 apabila Jonathan Khemdee menerima kad merah kerana menarik Syahir Bashah yang bijak mengatasi perangkap ofsaid
Beraksi berdepan lawan yang hanya tinggal 10 orang pemain, corak permainan Malaysia ternyata lebih baik sebaik sahaja memulakan perlawanan selepas rehat separuh masa dengan mencipta gerakan-gerakan bagi memburu gol penyamaan.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada minit ke-61 hasil jaringan penyerang muda Selangor, Danial Asri yang menampan hantaran lintang Mukhairi Ajmal menewaskan Kawin.
Bagi mencari gol kemenangan, Brad Maloney mula mengubah percaturan dengan membuat tiga pertukaran pada minit ke-65 memasukkan Quentin Cheng, Syafik Ismail dan Hadi Fayyadh.
Situasi kem negara mungkin sedikit tidak menggembirakan apabila Azam Azmi dilihat diusung masuk ke dalam ambulan kerana dipercayai mengalami kecederaan serius.
Mendominasi hampir keseluruhan perlawanan pada babak kedua, Malaysia terus memperoleh deretan peluang antaranya menerusi rembatan Safwan Mazlan dan tandukan Hadi Fayyadh
Gol kemenangan akhirnya terhasil pada minit terakhir masa kecederaan selepas pemain gantian Azfar Fikri Azhar bijak menyudahkan peluang dalam keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Thailand.
Kredit juga buat Syafik Ismail yang melakukan larian dari sebelah kanan sebelum membuat hantaran lintang kepada Hadi Fayyadh yang membuat percubaan, namun ketenangan Azfar Fikri dalam menyudahkan bola muntah tersebut merupakan kunci kepada kejayaan pada malam ini.